KUALA LUMPUR – Cadangan disuarakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz agar satu bentuk tindakan tegas diambil terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah satu seruan yang wajar diberikan perhatian serius.
Bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata, walaupun dari sudut idealisme, ia mungkin dibingkai atas nama kebebasan kehakiman, realitinya ucapan Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel di Malta adalah supaya peranan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman dihapuskan.
“Pertama, ia tidak diasaskan kepada mana-mana kajian diumumkan secara rasmi oleh mana-mana badan berwibawa dan kedua, ia tidak mewakili suara jemaah kehakiman secara kolektif.
“Ketiga, ia mengabaikan semangat Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan kuasa prerogatif Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 122B.
“Benarlah kata Nazri, ‘Seorang berprofil tinggi dalam negara seperti beliau seharusnya bercakap berdasarkan fakta semata-mata’,” catat Apandi dalam laporan BH pada Isnin.
Jelas beliau, seorang Ketua Hakim Negara sepatutnya bercakap dengan berlandaskan fakta-fakta kukuh seperti sepatutnya dilakukan dalam memberikan apa-apa keputusan penghakiman, perlu ada rujukan kepada kes tertentu, petikan tertentu dan tarikh tertentu.
“Ucapan Tengku Maimun ini tidak bertanggungjawab kerana tidak dinyatakan cadangan ini datang dari siapa dan apa asas yang memerlukan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JACA) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dibuat.
“Sebagai penjawat awam tertinggi dalam institusi kehakiman, Ketua Hakim Negara juga bukan sahaja bertanggungjawab dalam aspek penghakiman, tetapi juga mewakili wajah institusi itu kepada negara dan dunia luar.
“Maka, apabila kenyataan bersifat kontroversi dan sensitif dikeluarkan beliau dalam forum antarabangsa yang secara tersirat menuduh campur tangan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim ia bukan sahaja memberi persepsi negatif kepada rakyat tempatan, malah mencemarkan imej negara di mata dunia.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kenyataan ini dibuat di pentas luar negara, yang memberi ruang terbuka kepada pengkritik antarabangsa untuk mempersoalkan sistem kehakiman dan pentadbiran Malaysia, seolah-olah negara ini gagal menegakkan prinsip pengasingan kuasa,” katanya lagi.
Apandi menambah, ini satu bentuk pembukaan pekung di dada yang tidak sepatutnya dilakukan mana-mana pemimpin institusi tertinggi negara. Masyarakat sering dipesongkan dengan fahaman bahawa badan kehakiman adalah ‘kebal’ daripada sebarang bentuk semakan awam.
Walhal katanya dalam sistem demokrasi berperlembagaan, setiap institusi – termasuk kehakiman tertakluk kepada prinsip akauntabiliti, lebih-lebih lagi apabila kenyataan-kenyataan yang dibuat berpotensi menjejaskan hubungan antara badan eksekutif dan kehakiman.
“Sungguhpun kehakiman harus bebas daripada campur tangan politik, ia juga tidak boleh mengusulkan satu struktur baharu mengetepikan sepenuhnya mandat rakyat, iaitu melalui Perdana Menteri dipilih secara demokratik oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
“Sekiranya seorang ketua hakim secara terbuka mencadangkan sistem yang akan menyingkirkan elemen semak dan imbang ditetapkan dalam Perlembagaan, maka ini bukan reformasi, sebaliknya ini pemberontakan terhadap susunan asas Perlembagaan itu sendiri.
“Justeru, tindakan menegur atau menyemak kenyataan Tengku Maimun bukanlah soal menyerang institusi kehakiman, tetapi mempertahankan maruah negara. Ia juga penting untuk menjaga semangat saling hormat antara cabang-cabang utama negara: eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Jika Ketua Hakim Negara sendiri tidak menjaga disiplin ucapannya dalam forum antarabangsa, bagaimana rakyat boleh meletakkan keyakinan penuh terhadap keneutralan institusi kehakiman?
“Kita perlu mengingatkan semula bahawa kebebasan tanpa akauntabiliti hanyalah lesen untuk melampaui batas,” ujar beliau.
Dalam hal ini, Apandi setuju dengan kenyataan Nazri bahawa ‘Ucapan Tun Tengku Maimun juga satu bentuk campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa, iaitu cabang kehakiman mencampuri urusan legislatif dan eksekutif Kerajaan Malaysia’.
“Beliau seharusnya sedar fungsi kehakiman ialah menginterpretasi undang-undang digubal, diluluskan dan dilaksanakan legislatif dan eksekutif sahaja.
“Apabila kehakiman bercakap mengenai urusan menggubal undang-undang, maka ini satu pencerobohan nyata kepada bidang kuasa legislatif dan eksekutif.
“Dalam satu artikel bertajuk No Judge is a Parliament pada 15 Jun 2017, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menulis mengenai kewajipan semua cabang kerajaan untuk mengikuti sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan, melainkan kita mahu beralih kepada satu sistem alternatif seperti dictatorship of the judges.
“Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan waktu itu yang memperkatakan mengenai kuasa mahkamah untuk menjadikan tidak sah mana-mana undang-undang diluluskan Parlimen yang dikatakan bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan.
“Tanya Tun Abdul Hamid: “Bukankah itu satu bentuk penulisan semula atau pindaan kepada Perlembagaan? Bukankah itu menceroboh bidang kuasa legislatif atau campur tangan kehakiman terhadap fungsi legislatif? Dari manakah para hakim memperoleh kuasa untuk berbuat demikian”?
“Samalah juga dengan apa dilakukan Tengku Maimun sekarang. Mencadangkan atau menyokong cadangan supaya JACA 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim adalah satu bentuk pencerobohan nyata kepada bidang kuasa legislatif dan eksekutif.
“Nazri hanya menyuarakan apa yang ramai dalam kalangan rakyat dan Ahli Parlimen fikirkan, tetapi tidak berani lafazkan bahawa seorang Ketua Hakim Negara juga mesti bertanggungjawab atas kata-katanya dan tidak boleh berselindung di sebalik kebebasan institusi untuk menyebar naratif yang mencalar kredibiliti negara.
“Sama ada tindakan itu berbentuk teguran rasmi, siasatan dalaman atau sekurang-kurangnya peringatan secara berprosedur, ia perlu dilakukan demi menjaga kehormatan institusi dan negara,” katanya.
Menurut Apandi, Malaysia bukan negara yang gagal dalam pelantikan hakim.
“Kita sudah ada sistem yang walaupun mungkin tidak sempurna, tetapi mampu berfungsi dengan baik selama ini.
“Maka, adalah tidak bijaksana untuk pemimpin kehakiman sendiri mencadangkan pembatalan salah satu elemen penting sistem berkenaan,” katanya.