CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat dua isu tular di media sosial membabitkan calon-calon Pemilihan PKR di negeri Perak dan Perlis.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, siasatan tertumpu kepada dakwaan ugutan serta penyebaran kandungan bersifat jelik di laman sosial.
“Setakat ini, saya belum semak secara keseluruhan dengan pihak MCMC tapi ada dua isu yang telah berbangkit, satu video yang telah menuduh seorang calon mengeluarkan senjata api, di mana video itu telah tular dan calon tersebut (Perak) telah menafikan dan membuat laporan polis,” katanya.
Video yang mendakwa seorang calon di Perak mengacukan senjata api telah tersebar luas, walaupun individu yang terlibat menafikan perkara itu dan telah membuat laporan polis. MCMC akan membantu mengenal pasti akaun-akaun yang terlibat dalam penyebaran video tersebut.
“MCMC juga akan membantu dalam siasatan kerana dia berkait dengan video yang telah disebar dan telah ditularkan dalam beberapa platform media sosial,” tambah beliau.
Dalam isu berasingan, Fahmi berkata satu lagi siasatan dijalankan melibatkan hantaran di Facebook yang memuat naik tuduhan keterlaluan terhadap seorang calon di Perlis.
“Kedua, melibatkan satu hantaran dalam platform Facebook berkait penyalahgunaan rangkaian untuk menghantar maklumat kandungan yang bersifat jelik melampau. Ini bersifat tuduhan liar terhadap seorang calon di negeri Perlis,” jelasnya lagi.
Beliau memberi kenyataan tersebut kepada media selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah Persekutuan di Wisma TKC semalam.
Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut bersama MCMC akan diadakan berhubung aduan-aduan yang diterima, selain menjelaskan peranan MCMC dalam proses siasatan teknikal.
“MCMC akan memainkan peranan sebagai penganalisis teknikal untuk buat beberapa pengesahan. Mula-mula melibatkan pengesanan akaun mana yang telah menyebarkan,” katanya.