DAP Kecam Karikatur Sindiran PN di PRK Ayer Kuning: “Politik Kebudak-budakan” – Nga Kor Ming

- Advertisement -

CYBERJAYA – Tindakan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mempamerkan karikatur menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning hari ini telah menimbulkan rasa kesal dalam kalangan kepimpinan DAP.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk sindiran yang melampau dan tidak mencerminkan kematangan politik.

“Sindiran melalui karikatur sebegini yang berniat jahat tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar perlu kita atasi bersama seperti perang tariff (Donald) Trump,” katanya dalam kenyataan media.

Karikatur yang dipaparkan oleh penyokong PN mengandungi frasa seperti “nilai ringgit merosot”, “peningkatan cukai”, “penghapusan subsidi”, dan “shut up”, yang dilihat sebagai satu cubaan menyerang peribadi pemimpin kerajaan perpaduan.

Nga menambah, seharusnya perdebatan politik diangkat ke tahap yang lebih profesional dan berasaskan idea serta dasar pembangunan negara.

“Sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kita percaya perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan, bukan mempermainkan individu dengan cara kebudak-budakan serta memperalatkan agama dan kaum sebagai modal murahan,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan komitmen Pakatan Harapan dalam menyokong penuh calon Barisan Nasional di PRK tersebut, sejajar dengan kerjasama kerajaan perpaduan demi kestabilan dan kemajuan negeri Perak.

“Negara kita memerlukan politik yang membina, bukan membinasa,” ujar beliau, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat