KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap tiga penguat kuasanya yang didakwa mengasari seorang penjaja belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 28 Mac lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, berkata beliau dimaklumkan kes tersebut dalam peringkat akhir siasatan.
“Ini sudah jadi kes polis. Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan sehingga polis selesai (buat siasatan).
“Kita nak berikan ruang kepada polis buat siasatan,” katanya pada sidang medianya selepas merasmikan Pembukaan Laluan Pejalan Kaki Berbumbung Stesen LRT Taman Melati ke Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), memetik FMT pada Rabu.
Polis sebelum ini dilaporkan berkata tiga kertas siasatan berhubung insiden membabitkan peniaga belon dan penguat kuasa DBKL sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Ahad lalu, peniaga belon itu Muhammad Za’imuddin Azlan berkata beliau mahu mengambil tindakan terhadap DBKL atas kekasaran dialami dalam insiden itu yang berisiko menyebabkannya hampir lumpuh selepas mengalami kecederaan tulang belakang.
Dalam perkembangan lain, Maimunah berkata DBKL kini terus melipatgandakan usaha membanteras peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram di ibu kota, menerusi inisiatif operasi bersepadu KL Strike Force.
Beliau berkata DBKL sentiasa melakukan tindakan berterusan untuk membanteras isu peniaga warga asing secara berkala bersama agensi penguatkuasa lain termasuk Jabatan Imigresen, polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita memang ambil tindakan tegas dan bukan membiarkan sahaja isu itu (peniaga warga asing) berlaku, tapi orang ramai perlu faham, kehadiran warga asing tanpa permit bukan di bawah kuasa DBKL.
“Itu bidang kuasa imigresen, sebab itu setiap kali turun tapak, kita gerak sekali dengan semua agensi,” katanya.
Tambahnya, antara lokasi panas yang menjadi tumpuan operasi ialah Pasar Borong Kuala Lumpur, namun beliau menjelaskan serbuan turut dilakukan di kawasan lain secara senyap dan strategik.
Beliau turut mengingatkan agar lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh DBKL tidak disalahguna, khususnya disewakan atau dijual kepada pihak asing.
“Isu ‘Ali Baba’ ini antara punca kenapa peniaga asing terus berleluasa, lesen DBKL tapi yang meniaga orang lain. Saya minta semua peniaga tempatan jangan bersubahat. Ini tanggungjawab bersama,” katanya.