KUALA LUMPUR- Sebarang bahan kempen yang terpapar regu, calon berkumpulan atau pasukan khusus yang dianggap sebagai ‘cai’ dihadkan penggunaannya pada pemilihan PKR kali ini.
BH melaporkan menurut sumber, penggunaan ‘cai’ hanya dibenarkan dalam bentuk digital dan dipaparkan secara dalam talian sahaja sepanjang kempen berlangsung.
Untuk paparan secara fizikal, difahamkan penggunaan ‘cai’ menerusi kaedah itu adalah tidak dibenarkan.
Pada masa sama, sebarang bentuk kempen termasuk penggunaan ‘cai’ juga tidak dibenarkan sama sekali pada hari pengundian berlangsung.
Sebelum ini, terdapat dakwaan penggunaan ‘cai’ menjadi punca beberapa nama besar dalam parti itu tewas pemilihan PKR pada 2022.
Penggunaan ‘cai’ juga pernah menjadi kontroversi pada pemilihan PKR, selain membuktikan wujud beberapa kem atau pasukan tertentu dalam parti itu.
Menurut sumber, keputusan untuk tidak membenarkan ‘cai’ dipaparkan secara fizikal atau dipamerkan di khalayak untuk mengelak sebarang isu yang tidak diingini.
Ketika diminta untuk memberi penjelasan mengenai isu tidak diingini itu, sumber enggan mengulas lanjut.
Setakat ini, sumber memaklumkan belum ada aduan diterima berhubung pelanggaran garis panduan sepanjang kempen, termasuk terkait bahan kempen.
“Belum ada tindakan dikenakan. Kita pun belum terima sebarang aduan berkaitan pelanggaran (peraturan pemilihan parti), terutama membabitkan penggunaan bahan kempen yang tidak dibenarkan,” lapor akhbar itu.
Larangan terkait bahan kempen itu terkandung dalam tataetika pemilihan PKR yang diluluskan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) pada 29 Februari lalu.
Ia turut mendapatkan kelulusan daripada Biro Politik pada 3 Mac lalu.
Garis panduan itu boleh diakses menerusi laman web Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Untuk pemilihan di peringkat cabang dan Pusat, bahan kempen berbentuk fizikal seperti sepanduk, poster besar, papan iklan, penstrim dan sebagainya tidak dibenarkan dipamerkan di khalayak pada jangka waktu kempen rasmi yang diwartakan JPP.
Waktu kempen pemilihan di peringkat cabang dan Pusat bermula 28 Mac lalu akan tamat tengah malam esok.
Bagi pemilihan di peringkat pimpinan Pusat pula, termasuk wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), bahan kempen berbentuk fizikal mahupun dalam talian atau apa saja cara berkempen yang mencerminkan unsur kempen berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.