KOTA KINABALU- Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual bermula pada 10 April ini bakal mencatatkan detik bersejarah apabila ia dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah yang baharu, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman.
Menurut bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, pelantikan Tun Musa sebagai TYT ke-11 merupakan satu peristiwa penuh makna, lebih-lebih lagi apabila beliau merupakan bekas Ketua Menteri paling lama memimpin Sabah selama 15 tahun dari 2003 hingga 2018.
“Ini kali pertama dalam lebih dua dekad seorang ahli politik berpengalaman dilantik sebagai TYT. Kali terakhir adalah Allahyarham Tun Sakaran Dandai pada tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salleh berkata, Tun Musa dijadual menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan semasa majlis perasmian, yang akan mencerminkan hala tuju serta aspirasi pentadbiran negeri Sabah ke hadapan.
Tambah beliau, berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, TYT memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi, termasuk melantik Ketua Menteri, membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri, memberi perkenan kepada rang undang-undang, serta menjadi simbol perpaduan dan kestabilan negeri.
“Dengan latar belakang pentadbiran yang kukuh dan pengalaman politik yang mendalam, rakyat Sabah yakin Tun Musa mampu menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh wibawa dan kebijaksanaan,” katanya.
Majlis perasmian sidang DUN itu turut diserikan dengan Jamuan Hari Raya, sekali gus mempererat hubungan silaturahim antara Tuan Yang Terutama, pimpinan negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Salleh menyifatkan 10 April ini sebagai satu detik penting dalam sejarah Sabah yang penuh simbolik terhadap perjalanan masa depan negeri.