CYBERJAYA – Malaysia mengumumkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM10 juta sebagai permulaan bagi membantu rakyat Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda negara itu baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan ini adalah bukti tanggungjawab dan solidariti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam menangani krisis kemanusiaan di rantau ini.
Beliau turut mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar minggu hadapan.
“Lawatan ini bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pagi ini, seramai 50 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di bawah NADMA telah berlepas ke Naypyidaw, Myanmar bagi menyertai misi kemanusiaan dan membantu operasi SAR.
Anwar menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi seperti ini.
“Keutamaan ASEAN memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN bagi menyelaras bantuan kepada Myanmar serta memastikan setiap usaha yang dilakukan memberi impak bermakna kepada mangsa.
“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama, dan solidariti,” katanya.
Gempa bumi berukuran magnitud 7.7 yang melanda Myanmar pada Jumaat lalu telah menyebabkan kemusnahan besar di beberapa wilayah termasuk Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing, dan Naypyidaw.
Sehingga semalam, jumlah korban dilaporkan hampir 2,000 orang, dengan ribuan lagi cedera serta ratusan masih hilang.