Rakyat yang layak dapat subsidi petrol RON95 disalur melalui MyKad,85 peratus tak terkesan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini, menggunakan dua peringkat harga dan disalurkan melalui MyKad.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara itu sedang diperhalus dan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

“Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu perkara sementara kami masih menjalankan kerja, kerana perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh.

“RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi.

“Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad,” katanya selepas melakukan tinjauan operasi perkhidmatan RAPID KL On-Demand bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, lapor BH pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai kewajaran menggunakan MyKad dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 itu kelak, Amir Hamzah menjelaskan sistem itu sudah digunakan dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau berkata, ketika ini, sumbangan SARA kepada 700,000 penerima yang akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April ini menggunakan MyKad sebagai medium penyaluran bantuan tunai setiap bulan.

Malah, katanya bantuan yang diterima di dalam MyKad itu katanya boleh digunakan bagi transaksi di 3,500 kedai.

“Jika kita boleh menggunakan MyKad kepada 5.4 juta penerima dengan 3,500 kedai, ia menunjukkan sistem itu kukuh.

Justeru, tidak ada beza jika MyKad diguna pakai untuk rasionalisasi subsidi RON95,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah dalam masa sama turut menegaskan, 85 peratus rakyat negara ini tidak akan terkesan susulan penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan kelak.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan sebelum ini menyaksikan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 yang bernilai RM8 bilion.

Sementara itu, penganalisis menjelaskan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 bersama langkah meningkatkan hasil seperti perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan membantu kerajaan mencapai sasaran defisit 3.8 peratus seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Malah, langkah realistik yang direncanakan juga dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi domestik mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sasaran defisit 2025 itu sesuatu yang munasabah untuk dicapai.

Beliau berkata, beberapa langkah percukaian seperti peluasan skop SST serta rasionalisasi subsidi RON95 dilihat mampu membantu kerajaan dalam hasrat mengurangkan saiz defisit fiskal kepada 3.8 peratus berbanding 4.3 peratus tahun lalu.

Malah, tambahnya, saiz Belanjawan 2025 juga berada di paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM421 bilion.

“Justeru, ekonomi domestik dilihat berupaya menerajui pertumbuhan ekonomi tahun depan. Namun, situasi ekonomi luaran adalah risiko penurunan utama memandangkan ketidakpastian terhadap tampuk pimpinan baharu Amerika Syarikat (AS), situasi tegang di Asia Barat serta kelembapan ekonomi China adalah risiko yang berpotensi menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat