KUALA LUMPUR – Pas menyokong pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menganggap pendirian Perdana Menteri itu sebagai tepat dan perlu disokong.
“Memetik sebahagian laporan ini (kenyataan PM), “..sambil berkata ia perlu dipindahkan, dia menegaskan bahawa kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang…”
“Ini merupakan pendirian yang tepat dan perlu disokong.
“Harapnya tidak timbul lagi isu seperti ini di masa akan datang. Salam Ramadan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Anwar terdahulu dilaporkan berkata, kontroversi tanah di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mesti dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.
Dalam ucapannya pada sambutan Hari Polis ke-218 pagi tadi, Anwar berkata kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang.
Sambil berkata ia perlu dipindahkan, dia menegaskan bahawa kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
“… soal pembinaan masjid di tapak yang ada kuil yang tidak mendapat izin. Ada orang tak mahu sebut, bukan kuil haram, tak apalah istilah.
“Tapi kuil itu tidak dapat izin milik tanah dari tuan tanah, sama ada (tuan tanah) dulu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau sekarangnya syarikat (yang memilikinnya).
“Jadi kita negara hukum. Negara hukum ini ikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka (penganut agama Hindu) itu tempat kepecayaan dan amalan agama harus dipindahkan dengan baik,” kata Anwar.
Perdana menteri mengulas kontroversi yang melibatkan sebidang tanah di Jalan Bunus berhampiran Jalan Masjid India, yang menempatkan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Kuil itu dikatakan telah dibina pada 1893, beberapa dekad sebelum DBKL dan agensi pendahulunya ditubuhkan.
Selepas Merdeka, DBKL menjadi pemilik tanah tersebut sebelum ia dijual pada 2014 kepada syarikat tekstil Jakel Group.
Jakel baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk membina sebuah masjid di sana, yang akan dinamakan Masjid Madani, dengan Anwar dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah pada Khamis ini.
Memetik Malaysiakini, Anwar menegaskan bahawa kuil itu bukan rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
“Saya seorang Muslim, mahu jadi Muslimin Hakikiyun. Saya tidak pernah diajar oleh agama saya untuk memusuhi dan merosakkan harta benda mereka, tetapi jangan mereka anggap bahawa kita ini lemah.
“Ada masjid di Lahad Datu (Sabah) yang dirobohkan kerana tak ikut aturan. Ada surau di Perak yang dirobohkan… dan majlis agama memutuskan ada masjid di Sentul yang dirobohkan.
“Jadi bagi kita negara ini mesti tegak atas hukum,” tegas Anwar.