CYBERJAYA– Pemuda DAP Kepong telah membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Hadi Awang, berikutan hantaran beliau di Facebook bertajuk “Mengutamakan cadangan DAP membelakangi ketetapan Allah” yang dimuat naik baru-baru ini.
Ketua Pemuda DAP Kepong, Jefferson Chia, menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu sebagai berbaur hasutan dan mendakwa ia boleh mencetuskan ketegangan kaum serta agama.
“Tuduhan bahawa pemimpin DAP secara terbuka menentang Islam adalah sangat berbahaya. ” katanya dalam satu kenyataan.
Chia turut mendesak pihak polis menyiasat Hadi di bawah Seksyen 499, 504, 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
“Negara ini bukan tempat untuk politik toksik. Hadi mesti diheret ke mahkamah dan dipertanggungjawabkan,” tegasnya.
Laporan polis tersebut telah dibuat di Balai Polis Kepong pada 19 Mac.
Sebelum ini, Hadi Awang dalam tulisannya di Minda Presiden PAS mendakwa berlaku penentangan terbuka terhadap Islam oleh DAP, susulan cadangan parti itu untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Beliau turut menolak cadangan tersebut yang dianggap bertentangan dengan ketetapan Allah.