KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih fokus untuk mengangkat lantai masyarakat tanpa terikat dengan ekuiti kaum seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Justeru Anwar menegaskan, informasi dasar affirmative action ini akan diteruskan dan soal ekuiti walaupun ditekankan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera, namun kerajaan tidak tekankan sangat.
“Hal ini kerana kita lebih setuju untuk mengangkat lantai masyarakat itu kerana kalau terlalu terikat dengan ekuiti seperti yang pernah berlaku dulu jadi fokusnya pada syarikat-syarikat besar berlaku kensenjangan yang ketara diantara golongan mahakaya Melayu dengan yang merata miskin.
“Tentang agenda Bumiputera kita teruskan walaupun penekanan itu agak berbeza. Umpamanya kalau dalam strategi bersama dalam pembasmian kemiskinan peningkatan taraf hidup itu menyeluruh dan tidak dikategorikan sebagai Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Begitu juga tentang mutu pendidikan dan kesihatan. Tapi apabila saya cakap saya umum begini kerana kita biasa dengan racial profiling sebelum ini maka kadang-kadang timbul gesaan daripada Bumiputera, daripada India atau masyarakat Cina.
“Jadi saya nak jelaskan itu pendekatan bila kita tumbuh ekonomi dan pacu dan pinjaman itu menyeluruh kepada semua tapi bagi khusus untuk Bumiputera, itu
diteruskan kerana pertamanya dasar yang jelas termasuk Perkara 153, keduanya tentang kesenjangan yang merata,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan pelan khusus kerajaan menjayakan agenda Pelan Transformasi Putera 2030.
Anwar malah menjelaskan, agenda perkasa Bumiputera itu akan diteruskan.
“Jadi sementara ini boleh diteruskan tetapi bukan menjadi satu pendekatan yang terlalu keras umpamanya kalau seperti mana yang telah saya umumkan Bandar Malaysia yang dulunya diserahkan kepada asing keseluruhannya dan sekarang diambil balik dan keseluruhannya dikendalikan oleh syarikat kerajaan yang tentunya memberi fokus Bumiputera termasuk 50 ekar khusus untuk Bumiputera.
“Ini seperti mana saya jelaskan belum pernah dilakukan sejak kita Merdeka 1957. Itu memberikan gambaran bahawa dasar ini tidak ditinggalkan,” ujarnya.
Berkait soal penggabungan tiga bank, katanya walaupun masih dalam proses beliau setuju dengan gesaan Yang Berhormat bahawa soal tumpuan kepada PMKS itu
tidak akan diketepikan.
“Di antara syarat-syarat yang ditekankan oleh Bank Negara yang memantau soal penggabungan walaupun terlalu awal untuk saya berikan komen tetapi syarat PMKS syarat pinjaman Bumiputera itu tetap dijadikan satu ukuran dan dasar daripada penggabungan ini.
“Soal berapa jumlah dari RM1 billion itu saya akan minta notis dan berikan secara bertulis berapa yang telah disalurkan setakat ini,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.