KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan tambahan RM25 juta kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.
Selain itu bagi bagi tahun 2025, peruntukan hal ehwal Islam berjumlah RM2 bilion, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pemikiran dan aliran yang menyimpang daripada Islam yang sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah semakin membimbangkan. Usaha bersepadu giat dijalankan bagi mengekang segala aktiviti pemesongan akidah yang kian menular sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia.
“Susulan Ops Global yang sedang dijalankan, kerajaan akan menyediakan tambahan 25 juta ringgit kepada KPWKM bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.’
“Tahun hadapan, peruntukan hal ehwal Islam berjumlah RM2 bilion. Sebahagian peruntukan untuk memperkasa institusi pendidikan Islam, Pecahan ini melibatkan RM150 juta dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025, pada Jumaat.
Memperincikan peruntukan itu, kerajaan bersetuju menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain
untuk anak-anak.
“Bagi membantu penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM, Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100,” ujarnya.
Tambah Anwar lagi, insiden membakar al-Quran di Sweden dan penentangan terhadap Islam adalah kerana sifat kejahilan yang menebal.
“Bagi menyemai kesedaran terhadap Islam, kerajaan akan meluncurkan ikhtiar wakaf al-quran dengan niat untuk mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin dan Sweden.
“Usaha ini akan dilaksanakan JAKIM dengan kerjasama pihak seperti Yayasan Restu,” katanya.
Sebagai tanda persaudaraan, Anwar memaklumkankerajaan mengambil pendekatan membawa lebih 40 rakyat Palestin yang memerlukan rawatan
kesihatan ke Malaysia.
“Bagi menyokong usaha pengumpulan bantuan atas tanggungjawab bersama, kerajaan mencadangkan skop pelepasan cukai untuk badan amal di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan diperluas meliputi sumbangan kepada bukan warganegara yang terjejas.
“Menghargai sumbangan besar lebih 70 ribu guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta,” katanya.