KUALA LUMPUR- Perikatan Nasional (PN) menyelar kenyataan tidak bermaya yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Laut China Selatan khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.
Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa ahli-ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Perdana Menteri perlu sedar bahawa kenyataan beliau boleh memberi implikasi terhadap tuntutan perundangan dan berkenaan status Beting Patinggi Ali yang kini berada di dalam sempadan perairan negara.
“Selain daripada membawa mesej yang salah, kenyataan Perdana Menteri itu juga boleh dianggap sebagai ‘pengiktirafan’ kepada pihak yang menuntut kawasan terbabit dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada hak negara.
“Kehadiran kapal CCG bukan sahaja melahirkan kegusaran dan ketakutan kepada para nelayan kita, malah menimbulkan masalah dalam urusan melibatkan mata pencarian mereka.
“Kenyataan Perdana Menteri seolah-olah tidak prihatin terhadap nasib nelayan kita. Kenyataan ini juga boleh menyebabkan maruah dan hak kedaulatan perairan negara dipandang rendah oleh negara jiran serantau,” bidas Ahli Parlimen Machang itu dalam kenyataan pada Rabu.
Tegas Ketua Armada Bersatu itu, ini amat jauh berbeza dengan pendirian negara Filipina yang jauh lebih tegas dalam isu berkaitan sempadan perairan negara mereka khususnya apabila berdepan dengan pencerobohan kapal asing.
“Rakyat Malaysia tidak mahu Perdana Menteri mengambil pendekatan ‘beralah’ hanya disebabkan faktor negara berada dalam proses penyertaan gabungan tertentu seperti BRICS. Dalam apa jua keadaan, kedaulatan dan hak negara sebagai sebuah negara berdaulat perlu dipertahankan.
“PN sekali lagi menegaskan bahawa kedaulatan sempadan perairan negara perlu dipertahankan serta menyeru suatu kerjasama keselamatan bersepadu dapat diperteguh oleh Kerajaan Persekutuan bagi menjamin keselamatan sempadan perairan negara khususnya Beting Patinggi Ali.
“Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia,” katanya.
Anwar semalam hanya menyatakan “jangan takut” kepada nelayan di Beting Patinggi Ali dengan kehadiran CCG di Laut China Selatan.