KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum berpuas hati dengan pertumbuhan ekonomi negara meskipun lonjakan positif memandangkan masalah kos sara hidup belum tuntas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, meskipun diserang bertubi-tubi sebelum ini namun beliau memberitahu ringgit semakin mengukuh manakala pertumbuhan suku kedua pula merekodkan 5.8 peratus, yakni angka yang membanggakan.
Menurut beliau, kerajaan juga berjaya mengawal inflasi kepada tahap dua peratus dan kadar pengangguran juga dapat dikawal dengan baik.
“Itu di antara angka-angka yang baik. Tapi kalau tanya saya, adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup.
“Harga barang yang menekan kehidupan. Sebab itu saya telah umumkan beberapa langkah untuk membantu rakyat secara langsung yang dipanggil Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Bantuan itu kepada sembilan juta orang, tidak termasuk sekolah, I-Sara dan sebagainya yang jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil,” katanya.
Tambah beliau, dalam usaha membantu rakyat, beliau juga akan mengumumkan sistem saraan baharu, dengan menaikkan gaji penjawat awam.
Menurutnya, kenaikan itu akan menjadi yang paling tinggi dalam sejarah, selepas mengambil kira tugas mereka yang semakin cekap, harapan lebih tinggi dan pengawasan yang lebih keras.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat, lapor Astro Awani.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya, Datuk R Ramanan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.