KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyifatkan saranan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham sebagai cadangan yang sangat bodoh dan tiada keperluan untuk melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Dr Akmal menegaskan, pemimpin seperti Koo Ham inilah yang menjadi duri dalam daging bagi Kerajaan Perpaduan.
“Undang-undang Syariah adalah terpakai untuk orang Islam sahaja,maka tak perlu dan tidak ada keperluan atas cadangan yang sangat bodoh daripada Ngeh Koo Ham ini.
“Ini adalah contoh antara pemimpin yang tidak mahu memahami sensitiviti orang Islam di negara ini.
“Maka pemimpin seperti inilah yang menjadi duri di dalam daging bagi Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Justeru, Dr Akmal mengingatkan Setiauasaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk memilih sama ada melindungi pemimpin seperti Koo Ham atau memilihara hubungan sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sila pilih sama ada mahu melindungi pemimpin seperti ini ataupun mahu memelihara hubungan sesama parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika mahu menjaga pemimpin seperti ini,maka kita boleh lupakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan.
“Cukup-cukuplah. Fullstop! tegas beliau.
Semalam media melaporkan, kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.
“Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas,” katanya