KUALA LUMPUR – Mustahil untuk Umno dan Bersatu bekerjasama kerana berebut audien dan segmen yang sama, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi.
Beliau menolak syor Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berpandangan, Malaysia akan lebih hebat jika dua bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka lembaran baharu, dan bergerak bersama demi negara serta rakyat.
“Ada cadangan Najib dan Muhyiddin bergabung. Kononnya Malaysia tambah hebat. Tanyalah Muhyiddin. Mahukah dia?
“Individu yang mencadangkan itu buta sejarah. Najib pernah sokong Muhyiddin jadi PM ke 8. Dia tikam belakang. Dia mahu bunuh Umno macam di PRN Sabah.
“Muhyiddin tolak sertai Kerajaan Perpaduan. Dia mahu tebuk atap. Maka macam mana mahu wujud Malaysia lebih hebat,” soal Puad pada Selasa.
Menurut beliau, Bersatu boleh hidup kalau Umno mati.
Hal demikian, kata Puad adalah lebih praktikal Umno bekerjasama dengan PKR.
“Gabungan itu cadangan Syed Imran. Dia dakwa akan kumpul 30K orang sokong Najib. 10 orang pun tak sampai. Kaki syok sendiri. Tak payah layanlah,” bidasnya.
Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak atau dikenali sebagai ‘Bossku’ meletakkan harapan agar bekas Perdana Menteri itu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka lembaran baharu, dan bergerak bersama demi negara serta rakyat.
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berpandangan, Malaysia akan lebih hebat jika dua bekas pemimpin nombor satu negara itu, bersatu ketika rakyat sedang berdepan masalah ekonomi dan kos sara hidup.
Beliau menyuarakan perkara itu selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendoakan kesembuhan Najib yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat Covid-19.
“Negara akan menjadi lebih hebat jika dua figura ini bergabung.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan Umno Kampung Melayu Batu Caves Selatan itu yakin Umno akan kembali kukuh, selain Najib berada semula di arena politik tanah air sekiranya bersama dengan PN.