CYBERJAYA: Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak perlu panik dengan label liberal.
Menurutnya, PKR memang pernah bergiat bersama Liberal International.
“Rasanya tak perlulah PKR panik dengan label liberal,
“Memang ia pernah bergiat bersama Liberal International,” kata Tokoh Wartawan itu menerusi catatan Facebooknya, pada Isnin.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata PKR akan meneliti tindakan undang-undang terhadap pihak yang berniat jahat mengaitkan parti itu dengan Liberal International.
Ujar Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital, sejak kebelakangan ini, terdapat percubaan terancang untuk mengaitkan parti tersebut dengan satu pertubuhan
gabungan parti-parti iaitu Liberal International.
“Saya mengesahkan bahawa PKR bukan dan tidak pernah menjadi ahli atau anggota Liberal International,” jelasnya.
Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada tahun 1947 dan telah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.