Lebih 3 billion ringgit subsidi ayam, telur, kerajaan pastikan bekalan kekal stabil – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Kerajaan telah membelanjakan anggaran RM3.772 bilion subsidi ayam dan telur ayam bagi memastikan bekalan dan harga ayam dan telur ayam kekal stabil dari tahun 2022 hingga 2023.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya membincangkan secara terperinci berkenaan kawalan harga ayam dan telur ayam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini.

Beliau yang turut mempengerusikan mesyuarat tersebut memberitahu bahawa harga pasaran dan bekalan ayam di Malaysia menunjukkan trend yang stabil di peringkat borong dan runcit.

“Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut memaklumkan kos input makanan ternakan juga menunjukkan trend penurunan sekaligus mengurangkan kos input pengeluaran ayam.

“Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan KPKM agar jaminan terus diberikan bagi ketersediaan bekalan dan kestabilan harga ayam dan telur ayam di peringkat ladang bagi memastikan keberadaan telur ayam di peringkat borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah itu berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan memastikan kekerapan pemantauan penguatkuasaan terhadap harga dan bekalan sepanjang masa.

“Saya juga mencadangkan dalam usaha mengurangkan kos import makanan ayam, agensi-agensi Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) khususnya Lembaga Kemajuan Wilayah, untuk memulakan penanaman legume.

“Perkara ini telah saya bawa untuk perbincangan di Sabah dan Sarawak untuk penggunaan tanah negeri dan ia telah dipersetujui untuk wujud cadangan smart partnership bersama KPKM bagi memastikan harga dan bekalan ayam sentiasa stabil,” jelasnya.

Selain itu katanya, isu keberadaan beras tempatan di pasaran, KPDN dan KPKM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan berkaitan seperti OP Beras, OP Jamin dan OP Beras Putih Tempatan (OBPT) secara bersama sejak ia bermula pada 7 Julai 2023.

“Dalam Jualan RAHMAH yang sedang giat dijalankan, mesyuarat memutuskan menggunakan Beras Putih Import (BPI) dijual dengan harga borong (RM3,200 per tan metrik)

“Pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan antaranya Program Khas Beras Putih Tempatan dan dengan pelaksanaan ini terdapat unjuran tambahan Beras Putih Tempatan (BPT) sebulan sebanyak 23,000 tan metrik,” katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) juga telah dipertanggungjawabkan untuk membekalkan beras di kawasan yang mengalami gangguan.

Selain itu pihak berkenaan melancarkan talian hotline bagi pengguna melaporkan isu dan masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan.

“Tambahan itu, bagi OP Jamin, KPDN dan KPKM telah menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu sebanyak 37 siri pemeriksaan OP Jamin melibatkan 2,322 pemeriksaan ke atas premis kilang, borong dan runcit.

“Sebanyak 142 aduan telah diterima yang melibatkan isu bekalan, harga dan lain-lain dan diuruskan bersama Kementerian berkaitan.

“Antara aduan yang banyak diterima adalah berkaitan jurang harga yang sangat tinggi antara BPT dan BPI yang menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Oleh itu katanya, beliau mengarahkan agar penguatkuasaan bersepadu melalui OP Jamin ini diteruskan dan kekurangan bekalan dapat diatasi segera dan dipulihkan.

“Saya berpandangan bahawa Stokpail Beras Negara hanya perlu digunakan bersama Stok Beras Semasa sekiranya situasi bekalan beras negara tidak dapat pulih dalam jangka masa yang terdekat ini selepas pendekatan-pendekatan Kerajaan ini dilakukan sebaiknya,” katanya.

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat