Tun M perinci aset Kedah yang boleh dimajukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau ‘State-Goverment 4′(SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad memperincikan aset-aset milik Negeri Kedah yang boleh dimajukan bagi merancakkan ekonomi negeri itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Negeri Kedah mempunyai banyak potensi sama seperti negeri lain.

Menurut beliau, segala aset dan sumber negeri jika dilabur berpotensi akan beri pulangan.

“Petang semalam saya bertemu dengan YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Mentaloon, Alor Setar.

“Saya ditanya apa boleh dibuat untuk tingkatkan pelancongan negeri. Sebenarnya selain Langkawi, baru-baru ini setelah 40 tahun lebih saya naik ke Gunung Jerai.

“Saya dapati inipun salah satu tarikan yang terdapat di negeri Kedah. Pemandangannya cukup cantik dan udaranya nyaman. Berbeza di Cameron dan Genting Highland, di puncak Gunung Jerai ini boleh nampak sesaujana mata memandang. Dari sebelah kanan boleh nampak sawah padi, sebelah kiri boleh lihat lautan.

“Malahan di situ ada pokok-pokok dan hijauan yang mendamaikan, selain nilai sejarah di situ. Saya cadang adakan acara kayuh basikal peringkat antarabangsa dari kaki bukit ke puncak gunung,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Dengan itu saja katanya, Kedah boleh perkenal Gunung Jerai sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

“Ramai akan berkayuh sambil nikmati kehijauan gunung ini.

“Selain itu, Negeri Kedah antara negeri yang mempunyai banyak tanah. Tanah ini tidak semestinya perlu dijual.

“Tanah adalah aset negeri yang boleh dijadikan modal. Jika jual tanah, negeri akan rugi kerana nilai tanah biasanya meningkat. Pembangunan atas tanah akan sediakan peluang pekerjaan dan sumbang pada kitaran ekonomi penduduk,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkongsi berkenaan pembangunan Kuala Lumpur.

Jelas beliau, dahulu bangunan di situ semuanya rendah belaka. Apabila ditanya mengapa pembangunan di KL perlahan, rupanya permohonan dan kelulusan kepada pelabur mengambil masa yang lama.

“Dahulu kita pakai sistem borang, borang dan dokumen tujuh salinan pun hilang dan banyak alasan lagi. Ini kerenah birokrasi dan tidak cekap.

“Selepas Datuk Bandar Elyas Omar dilantik, beliau buat banyak kelulusan. Jadi sebagai Perdana Menteri ketika itu, saya beritahu kepadanya proses kelulusan tidak perlu lebih dari seminggu, saya sendiri hendak lihat apa sebab jika sesuatu kelulusan itu ditolak.

“Pelabur sudah berminat, tidak patut lengahkan proses sekiranya syarat sudahpun dipenuhi, kalau tidak mereka akan lari ke tempat lain negara akan rugi.

“Sejak itu Kuala Lumpur dipenuhi dengan kren-kren dan pesat hingga sekarang sama seperti bandar di negara lain. Dan Kuala Lumpur telah sediakan banyak peluang pekerjaan dan ekonominya meningkat tidak seperti dahulu lagi,” ulas beliau.

Menurut anak jati Kedah itu lagi, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan mempunyai banyak potensi.

“Kita cuma perlu tahu bagaimana hendak laksana sesuatu idea untuk memajukan negeri.

“Ini termasuk sokongan jentera pentadbiran, amalan kerja “good administration”, elak rasuah dalam urusan Kerajaan, elak ganggu pelabur apabila mereka sudah yakin melabur di negeri.

“Ini semua akan bantu makmurkan negeri keseluruhannya. Saya ucap terima kasih dan semoga negeri Kedah terus sejahtera dan makmur,” ucap beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat