KUALA LUMPUR – Tiada lagi sempadan merah bagi pengundi Cina meskipun tanpa slogan ‘Malaysian Malaysia’ atau isu rasuah mereka akan automatik undi DAP dan calon-calon yang disokong DAP.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, realiti sekarang, DAP boleh buat apa sahaja termasuk bekerjasama dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pengundi Cina akan tetap memberi lebih 95 peratus sokongan kepada mereka.
“Kalau ada pun pengundi Cina yang sedikit kecewa, mereka tidak akan keluar mengundi seperti di PRK Pulai. Itu sahaja. Jika senario PRU, mereka pasti akan keluar dan mengundi DAP sebab pertaruhan lebih besar dan penting berbanding PRK.
“Bagi pengundi Cina tiada lagi sempadan merah dalam bentuk isu rasuah dan lain-lain, mereka automatik akan undi DAP dan calon-calon yang disokong oleh DAP. Jika mereka buang slogan ‘Malaysian, Malaysia’ pun pengundi Cina akan undi DAP,” jangka Khairy dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Beliau berkata demikian merujuk ulasan penganalisis politik yang percaya DAP akan hilang penyokong akar umbi dan dilihat tidak berprinsip jika menggugurkan moto “Malaysian Malaysia”.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, parti itu berisiko hilang sokongan bukan Melayu khususnya dari masyarakat Cina.
“DAP juga akan dilihat sebagai tidak berprinsip teguh dan terlalu berkompromi dengan kerajaan perpaduan,” katanya.
Susulan itu tegas Khairy lagi, orang Cina akan kata jangan salahkan mereka sebab mereka tiada pilihan lain yang ‘viable’.
“Pada PRU 2013, ada pilihan yang ‘viable’. Penggal pertama Datuk Seri Najib Razak dikenali dengan pendekatan ‘liberal’. 1Malaysia, liberalisasi ekonomi, peruntukan tambahan untuk sekolah-sekolah Cina, Najib pukul gendang Cina dalam video.
“Ini semua sebelum skandal 1MDB, tapi pengundi Cina masih memberi undi pada DAP sehingga Utusan Malaysia keluarkan headline “Apa lagi Cina mahu?” yang dikecam hebat. Masa PRN 2023 ada pilihan ‘kuasa ketiga’ MUDA yang antara lain menolak kerjasama dengan Zahid, pun pengundi Cina tidak layan.
“Saya rasa tidak akan ada pilihan lain yang viable mungkin untuk 40-50 tahun lagi. DAP akan terus menang selesa di kawasan-kawasan bandar majoriti Cina. Jika Perlembagaan dipinda nanti untuk menambahkan kerusi Parlimen, sudah pasti yang akan ditambah adalah kawasan-kawasan di bandar,” ramal beliau.
Malah Khairy mendakwa, dengan pengundi Melayu yang berpecah tiga atau empat, kita sekarang berada di zaman hegemoni politik DAP.