Tak perlu tunggang nama Najib nak sokong PN, tidak pernah bagi arahan – Nooryana
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengeluarkan arahan kepada penyokongnya untuk menyokong Perikatan Nasional(PN) seperti dinyatakan Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz.
Anak perempuan bekas Perdana Menteri itu, Nooryana Najwa Najib menegaskan pendirian Syed Imran dan Wan Muhammad AZri Wan Deris (Papagomo) tidak mewakili Najib mahupun penyokong beliau yang lain.
“Pagi tadi (semalam) Yana terima mesej daripada Daddy. Najib ingin tegaskan bahawa Syed Imran dan Papagomo tidak mewakili beliau mahupun penyokong-penyokongnya.
“Syed Imran juga tidak diarahkan oleh Najib untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pendirian beliau,” kata Nooryana di Facebook malam tadi.
Jelas Exco Puteri Umno itu lagi, bapanya sudah berada dalam penjara hampir setahun dan tidak adil bagi Syed Imran atau mana-mana individu lain untuk tunggang atau mempergunakan nama Najib.
“Telah banyak ujian dan cabaran yang telah Najib lalui.
“Najib tahu menilai yang mana satu kawan yang mana satu lawan,” ujarnya.
Nooryana menyatakan, pendirian rasmi Najib hanya sah sekiranya ianya dimuat naik dalam saluran media sosial rasmi milik bekas Perdana Menteri itu melalui mesej kepada peguamnya.
Baru-baru ini, penyokong-penyokong Najib didakwa bakal mengalih sokongan kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi jika keadilan untuk bekas Perdana Menteri itu tidak ditegakkan.
Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pihaknya kecewa keadilan untuk Najib yang dimohon kepada Kerajaan Madani sehingga sekarang tidak dipedulikan.
Beliau yang juga Ketua Cawangan Umno Kampung Melayu Batu Caves Selatan mendakwa, beliau dan beberapa ahli Umno lain sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden dan ketua-ketua bahagian kerana tidak ‘berdiri’ untuk menegakkan keadilan kepada Najib.
“Saya memberi semboyan seluruh penyokong ‘bossku’, akan sokong PN pada PRN akan datang.
“Ketua-ketua bahagian UMNO sepatutnya perlu berdiri tegak, tetapi kamu tak buat. Kami hilang kepercayaan, ulasan tentang anak Najib yang beritahu perlu menyokong Kerajaan Perpaduan tidak tepat sama sekali.
“Tidak pernah Najib beritahu kita perlu sokong Kerajaan Perpaduan jika keadilan tidak ditegakkan. Ini jelas jika keadilan tidak ditegakkan, kita sokong PN,” katanya.