KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) berpotensi untuk dihidupkan semula pada masa depan.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor malah mengemukakan saran untuk beliau mengemudi di blok Perikatan Nasional (PN) manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar memimpin di sebelah Barisan Nasional (BN).
Hal ini kata Menteri Besar Kedah itu, asas kepada keruntuhan gabungan MN didakwa berpunca daripada tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang cuba menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Muafakat Nasional boleh hidup balik, Khairy lead sebelah sana, saya lead sebelah sini.
“Zahid yang heret kepada keruntuhan MN, supaya dia boleh kerjasama dengan Anwar. Dia punya masalah, bukan kita (PAS).
“Saya tak menganggap rakan-rakan Umno yang pernah bersama dalam MN itu sekarang menjadi musuh, tidak. Saya masih menganggap sebagai rakan, tinggal lagi oleh kerana boss (Zahid) nak macam itu, depa kena ikut lah.
“Saya masih berpesan kepada kawan-kawan Umno, jangan hentam teruk sangat sebab esok (mungkin) kita akan berkawan balik. Saya masih terbuka dalam hal itu, MN masih boleh dihidupkan,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap malam tadi.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Pas meninggalkan MN kerana memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah payung PN, Sanusi menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
“Alasan yang diberi oleh Umno ialah hang (PAS) kena tinggal Bersatu. Itu tidak masuk akal.
“Pada kefahaman saya, asas MN ditubuhkan adalah perpaduan ummah, bukannya perpaduan PAS-Umno.
“Jadi kalau perpaduan ummah, sesiapa yang hendak berpadu dalam persatuan ummah ini, dipersilakan, termasuk Bersatu,” ujar Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS Pusat itu lagi.