PAS Desak Menteri Sumber Manusia Direhatkan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya merehatkan Menteri Sumber Manusia selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin tindakan ini penting untuk memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa.

“Antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan ‘Garden Leave’ bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi.

“Pada Januari 2022, Majlis Presiden PH pernah mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Azam selesai.

“Walaupun kedua-dua mereka bukanlah suspek, namun disebabkan kedudukan mereka dalam agensi berkaitan SPRM menyebabkan terdapat konflik kepentingan sehingga PH mendakwa mereka enggan mengambil tindakan terhadap Azam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Jerantut itu menambah, hari ini siasatan SPRM terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Menteri Sumber Manusia dari PH tetapi Menteri tidak direhatkan.

Katanya lagi sebelum ini, PN menggesa Perdana Menteri dan Majlis Presiden PH menunjukkan teladan yang baik serta mengotakan janji mereka kepada masyarakat bila orang mereka sendiri disiasat.

“Rakyat Malaysia making matang dan dengan jelas melihat sikap “double standard” kerajaan sekarang terutamanya pemimpin PH.

“Untuk rujukan, pada 14 April 1999 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual. Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan,” ujar Khairil Nizam.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat