KUALA LUMPUR – Dana filem RM20 juta yang diberikan kepada syarikat produksi didakwa diseleweng untuk kepentingan peribadi termasuk membeli rumah dan percutian mewah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, segelintir mereka yang didakwa terlibat adalah penerima dana mikro yang terdiri daripada individu dan syarikat.
Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu sukar dibuktikan kerana individu yang datang mengadu kepadanya enggan bekerjasama dalam mengemukakan dakwaan tersebut.
“Tindakan telah diambil terhadap pihak terlibat dan mereka diberi peluang untuk menyiapkan filem yang dijanjikan.
“Tetapi ada yang tiada maklum balas dan kita akan ambil tindakan,” lapor Utusan namun tidak menyatakan jumlah filem yang terlibat.
Semalam, Md. Nasir mendedahkan 47 individu dan syarikat produksi dikenal pasti menerima dana keseluruhan RM20 juta tetapi tidak menerbitkan filem dan telah disaman.
Sementara itu, ditanya sama ada individu atau syarikat yang disenarai pernah melakukan kesalahan berulang, Md. Nasir berkata, beliau belum dapat mengesahkan perkara tersebut.
“Kebiasaannya kalau sudah buat kesalahan tindakan sudah diambil dan mereka tidak dibenarkan menerima dana lagi. Kita memang ambil tindakan pada mereka yang tidak melaksanakan sebarang kerja langsung,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi tidak menolak kemungkinan isu penyelewengan tersebut melibatkan kerja ‘orang dalam’.
“Kadang-kadang penjawat awam ini bertindak mengikut arahan dan terperangkap dengan pengurusan atasan. Kalau dia tidak buat akan dipindahkan, diturunkan pangkat atau tindakan lain. Dalam isu ini mesti ada yang ‘terpaksa’ dan kita tidak boleh salahkan mereka secara keseluruhan.
“Ada juga yang ikut prosedur tetapi pihak luar pula ambil kesempatan disebabkan sistem yang lemah dalam mendapatkan geran. Mungkin data lemah, senang bocor dan mudah tembus,” dakwanya.
Sementara itu, Zed menegaskan masalah penyelewengan dana Finas sudah lama berlarutan dan tidak akan selesai sekiranya dasar, polisi dan undang-undang tidak digubal sepenuhnya.
Dalam hal ini katanya, Finas perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan solusi dan penyelesaian masalah yang sudah melanda industri seni sejak dahulu lagi.
“Ini masalah pentadbiran juga sebab CEO Finas juga sering bertukar dalam tempoh dua tahun. Jadi bagaimana perancangan dan penambahbaikan geran dapat dibuat sekiranya bertukar CEO lain?
“Lebih-lebih lagi pula kalau individu yang dilantik tak faham tentang industri dan apa yang diperjuangkan orang terdahulu. Jangan sekadar siasat dan bongkar tapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh berkata, isu tersebut perlu diatasi segera kerana impaknya akan menjejaskan semua kru produksi secara langsung.
“Kalau dana sudah dapat tapi filem tidak buat ia akan menjejaskan semua peringkat sama ada kru produksi, kerja penerbitan dan pelakon pembantu.
“Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk selesaikan perkara ini. Pengarah perlu faham geran yang kerajaan bagi adalah untuk membantu mereka menerbitkan filem dan bukan menjana keuntungan.
“Sebagai contoh, kalau dapat dana RM1 juta dan kos keseluruhan produksi RM1.5 juta, baki RM500,000 mereka perlu guna duit sendiri. Tetapi ada segelintir yang mengaut keuntungan,” katanya.