KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, dapatan kajian oleh Merdeka Center mendapati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki populariti sebanyak 68 peratus daripada rakyat.
Ini menimbulkan pertanyaan, mengapa demikian? Bagaimana dalam tempoh singkat, popularitinya melonjak begitu tinggi? Sedangkan tidak nampak perubahan ketara dalam pentadbiran beliau, baik dari segi ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Secara umumnya, kerajaan baharu cenderung menikmati tahap persetujuan dan sokongan tinggi pada permulaan. Tetapi ini boleh menurun dari semasa ke semasa apabila rakyat mula menilai tindakan dan dasar kerajaan.
Penganalisis isu-isu semasa, Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim berkata, sehingga ke hari ini, tidak terlalu banyak boleh dibincangkan tentang kejayaan pemerintahan Anwar selain menggantikan konsep Keluarga Malaysia ke Malaysia Madani.
Lapor Utusan katanya, hanya di beberapa minggu awal pemerintahan beliau, nilai ringgit menunjukkan peningkatan. Namun, selepas itu harapan ringgit terus mengukuh tidak menjadi kenyataan di mana terus lemah sehingga ke hari ini. Kos sara hidup pula semakin membebankan rakyat. Bahkan isu telur ayam di pasaran pun masih belum selesai.
“Walau apa pun cabaran mendatang, kerajaan perpaduan harus mengharunginya. Cabaran utamanya ialah dari sudut pengurusan ekonomi. Kerajaan perpaduan perlu menghadapi pelbagai cabaran yang terjadi dalam ekonomi global. Gangguan rangkaian bekalan, tekanan inflasi dan ketegangan geopolitik merupakan antara cabaran besar dalam menguruskan ekonomi negara.
“Gangguan rangkaian bekalan kesan daripada pandemik Covid-19 adalah masalah serius kepada ekonomi negara. Hal ini kerana ada barangan dihasilkan bergantung kepada bahan mentah yang diimport dari luar.
“Hari ini kita boleh melihat peningkatan harga barangan dan kekurangan bekalan di pasaran. Sekiranya gangguan ini berpanjangan, ia boleh memberi kesan lebih buruk kepada penjual, pengeluar dan pengguna. Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan perpaduan menangani isu rantaian bekalan ini secara berkesan dengan dasar dan penyelesaian secepat mungkin untuk meminimumkan kesan buruk terhadap ekonomi negara,”katanya.
Menurut beliau lagi, tekanan inflasi juga menjadi salah satu cabaran dihadapi kerajaan perpaduan. Tekanan inflasi di samping faktor peningkatan kos pengeluaran menyukarkan lagi perniagaan untuk menghasilkan produk yang murah dan berkualiti. Kesan paling ketara adalah kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan utama rakyat.
Selain itu Ahmad Faris berkata, ketegangan geopolitik seperti perang di Ukraine dan ketegangan hubungan Amerika Syarikat-China juga merupakan cabaran besar kepada ekonomi negara. Adalah penting bagi negara memikirkan faktor geopolitik dalam pembangunan ekonomi dan menjalinkan hubungan antara negara-negara untuk menarik pelaburan ke dalam ekonomi negara. Namun, kedaulatan negara harus tetap dipertahankan.
COVID-19
Ujar beliau, kekurangan tenaga kerja semakin ketara terjadi ketika usaha-usaha negara memulakan langkah perlahan-lahan untuk kembali bermula selepas berdepan pandemik Covid-19. Tindakan dilakukan oleh kerajaan perpaduan ketika ini tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ini. Kekurangan tenaga kerja tersebut sekali gus memberi kesan langsung terhadap kegiatan ekonomi seperti operasi perniagaan sedia ada dan pelaburan baharu.
“Pertumbuhan ekonomi global sudah pasti mengalami kelembapan yang teruk dalam keadaan pasca Covid-19. Persoalannya, adakah kerajaan sudah bersedia dengan pelan serta program mitigasi untuk mengatasinya?
“Ada beberapa isu penting perlu ditangani oleh kerajaan bagi mendepani situasi politik ketika ini. Pertama, sokongan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan disifatkan sebagai tidak kukuh dan utuh. Tidak boleh dinafikan sejak merdeka lagi, jatuh atau kekalnya sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan orang Melayu.
“Walaupun Umno bersama dalam kerajaan, namun pengaruh parti itu tidak lagi seperti dahulu untuk menarik orang Melayu. Setelah hampir enam bulan kerajaan ini ditubuhkan, kepuasan hati orang Melayu masih pudar berdasarkan beberapa tindakan yang tidak popular kepada mereka,” katanya.
Ahmad Faris juga menyebut perkara kedua ialah pelbagai tuntutan politik masih gagal ditunaikan oleh Perdana Menteri. Hal ini dapat menjadi penyebab ketidakstabilan dalam pakatan kerajaan. Perdana Menteri perlu menangani isu ini dan menunaikan permintaan-permintaan yang telah disepakati dengan kadar segera.
“Ketiga, terdapat kemungkinan ‘Langkah Sheraton 2.0’ akan berlaku. Hal ini disebabkan oleh ketidakpuasan hati ahli Parlimen kerajaan perpaduan dengan tindakan kerajaan yang kurang responsif dalam menangani tuntutan mereka. Ia juga disemarakkan lagi oleh tindakan beberapa pemimpin parti pembangkang berikutan ketidakpuasan hati terhadap tindakan pendakwaan ke atas pemimpin-pemimpin mereka baru-baru ini yang disifatkan sebagai pendakwaan ataupun dendam politik.
“Pembangkang kini sering memainkan isu terhakisnya hak-hak orang Melayu, ketidakcekapan beberapa menteri Kabinet dalam menguruskan hal ehwal negara dan janji-janji tidak ditunaikan oleh kerajaan untuk membangkitkan perasaan ketidakpuasan hati rakyat. Oleh itu, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan lebih teliti untuk mencegah kemungkinan ini berlaku,” katanya.
Jelasnya, selain cabaran ekonomi dan politik, faktor kebersamaan penjawat awam bersama kerajaan juga amat penting. Sekiranya penjawat awam tidak mempunyai aspirasi yang sama dengan kerajaan perpaduan, maka kerajaan itu akan melemah kerana pegawai yang akan menterjemahkan dalam bentuk tindakan ke atas segala dasar ditetapkan.
“Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan saya, terdapat kelemahan dan kelambatan membuat perubahan dalam pucuk pimpinan penjawat awam. Kerajaan perlu melakukan perubahan untuk memastikan pegawai kerajaan yang berkelayakan di pelbagai bidang diberikan peluang dan tidak memihak atau simpati kepada pemimpin tertentu untuk memberi sumbangan kepada kerajaan perpaduan.
“Pengisian jawatan strategik seperti Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah hendaklah dilakukan segara agar jentera kerajaan dapat bergerak lancar. Sementara calon yang hendak mengisi jawatan tersebut hendaklah berkelayakan dan diyakini tidak akan mensabotaj kerajaan perpaduan,” katanya.
Kredit foto: FB