KUALA LUMPUR – Semua calon Umno yang bakal bertanding dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menggunakan lambang dacing.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ketetapan itu.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.
“Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, di Kuala Nerus pada Selasa.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata Umno bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan setakat ini masih belum membincangkan secara formal mengenai perkara itu.
Sementara itu Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said dilantik semula sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), lapor Bernama.
Katanya pelantikan semula Ahmad yang berkuat kuasa serta merta itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.