KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Datuk Razali Idris kepada media di hadapan ibu pejabat SPRM, pada pagi Khamis di Putrajaya.
“Muhyiddin sudah diminta hadir ke ibu pejabat SPRM dan kita jangka beliau akan ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah, esok.
“Tindakan ini dilakukan sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dan ia dianggap tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Ditanya sama ada pemimpin Bersatu yang lain akan turut ditahan oleh SPRM, beliau enggan mengulas lanjut tetapi berkata, itu tidak mustahil berlaku.
Media melaporkan, siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).