KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Umno mengheret Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam polemik usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi Umno yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.
Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden Umno membangkitkan persoalan apa sebenarnya yang sedang berlaku terhadap parti itu.
Ini kerana, beliau mendakwa, parti Melayu itu turut mengheret Menteri Dalam Negeri,
Ahli Parlimen Sembrong, sebelum itu menyokong kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung keputusan Saifuddin.
Khairy mendakwa, keputusan Saifuddin memberi pengecualian terhadap Umno daripada mematuhi peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menunjukkan jabatan itu sememangnya memutuskan keputusan Umno tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno sebagai tidak sah.
“Benar dan tepat KJ. Apa dah jadi dengan Umno ni? “Sekarang diheret pula Menteri KDN.
“Baru tahu sebab kita di pecat dan di gantung – just in case Menteri tak beri pengecualian!!!,”katanya.
Beliau berkata demikian di ruang komen hantaran video Khairy yang mengulas mengenai isu berkenaan.
Hishammuddin kini digantung keahlian Umno selama enam tahun, manakala Khairy pula dipecat daripada parti itu pada Januari lalu.
Polemik berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertanding bermula selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 setelah parti itu meluluskan usul tambahan yang didakwa melanggar peraturan RoS.
Perkara itu menimbulkan pertikaian menyebabkan dua ahli Umno memfailkan notis bantahan kepada RoS.
Bagaimanapun, pada Selasa, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntuk menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.
Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntuk pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.