Selesai isu kerja lebih masa secara muafakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu artis dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari yang menjadi polemik dibangkitkan, baru-baru ini tidak sepatutnya disensasikan, sebaliknya perlu diselesaikan secara pemuafakatan dalam pasukan produksi.

Dua sutradara berpengalaman, Aziz M Osman dan Datuk Yusry Abd Halim tidak menafikan tindakan ‘melenjan’ artis dan kru produksi bekerja sepanjang hari disifatkan keterlaluan, namun ia tidak mungkin berlaku hari-hari.

Sebaliknya, ada faktor yang menyebabkan pengarah dan penerbit menuntut artis dan kru bekerja lebih masa. Aziz berpengalaman lebih tiga dekad duduk di kerusi pengarahan inginkan kepastian adakah isu yang disensasikan itu berlaku setiap hari?

“Rasa seperti tidak logik kerana tiada manusia yang mampu bekerja berpuluh-puluh jam, setiap hari.

“Namun, memang layak pelakon dan kru berang jika perkara ini berlaku. Tetapi, permasalahan yang timbul tidak perlu dibawa ke luar sehingga membabitkan campur tangan persatuan.

“Lebih memalukan timbul desakan pemecatan ke atas individu tertentu kerana kegagalan memperjuangkan had masa bekerja untuk pekerja seni.

“Bagi saya, ini umpama masalah rumah tangga. Jika ada masalah, selesaikan secara muafakat, bukannya suruh orang luar campur tangan masalah dalaman,” katanya kepada BH Online.

Pengarah filem Fenomena dan XX Ray itu berkata, dia percaya isu artis dan kru bekerja sehingga 20 jam tidak berlaku setiap hari.

“Ada sebab kenapa pengarah menuntut artis dan kru bekerja lebih masa. Pastinya, ia sudah mendapat persetujuan terlebih dahulu.

“Ia pernah berlaku kepada saya ketika mengarahkan filem Femina pada 1993. Pada akhir penggambaran, saya perlu terbang ke Amsterdam untuk menyambung pelajaran selama empat bulan menyebabkan penggambaran tidak sempat dihabiskan.

“Jadi, saya tanya adakah artis dan kru sanggup menunggu kepulangan saya untuk menyambung penggambaran atau hendak habiskan sebelum saya terbang, tetapi kena bekerja selama 48 jam.

“Mereka bersetuju menghabiskan penggambaran dan sanggup bekerja selama 48 jam. Jadi, apa yang ingin saya katakan, kita boleh selesaikan tanpa membabitkan menteri hingga mendesak memecat individu tertentu jika bersepakat.

“Tindakan sedemikian tidak beretika,” katanya.

 

Aziz berpendapat, artis dan kru sepatutnya menyuarakan ketidakpuasan hati kepada penerbit penyelaras, pengurus produksi atau penerbit, bukannya terus menularkan sesuatu isu. - Foto IG Aziz M Osman
Aziz berpendapat, artis dan kru sepatutnya menyuarakan ketidakpuasan hati kepada penerbit penyelaras, pengurus produksi atau penerbit, bukannya terus menularkan sesuatu isu. – Foto IG Aziz M Osman

 

Tambah Aziz, artis dan kru yang tidak berpuas hati dengan pengarah sepatutnya menyuarakan ketidakpuasan hati kepada penerbit penyelaras, pengurus produksi atau penerbit, bukannya terus menularkan sesuatu isu.

Katanya, dia pernah melalui pengalaman ketika penggambaran filem Leftenan Adnan pada 1999 yang membabitkan had masa bekerja apabila artis dan kru tidak berpuas hati perlu bekerja dari jam 2 petang hingga 7 pagi setiap hari sehingga tidak cukup rehat.

“Kebiasaannya, kru perlu menyambung kerja selama beberapa jam untuk mengemaskan set selepas habis penggambaran jam 7 pagi. Jadi, mereka membuat petisyen mengadu tidak cukup rehat kerana hanya tidur tiga hingga empat jam.

“Saya tak ambil ringan rungutan kru apabila petisyen sampai ke tangan saya. Sejak itu, saya ubah jadual penggambaran untuk memastikan kru selesa bekerja dengan saya.

“Jadi, ia boleh diselesaikan secara baik sekiranya adanya perbincangan dan permuafakatan tanpa perlu mengheret orang luar dalam masalah kita jika timbul isu dalam sesebuah produksi,” katanya.

Pengarah filem Cicakman, Yusry berkata, dia akan mengehadkan masa bekerja tidak melebihi 12 jam, setiap hari. Perkara itu akan memaklumkan lebih awal kepada penerbit sebelum bersetuju bekerja dengan mana-mana produksi.

Kata Yusry, tindakan mengerah artis dan kru bekerja sehingga 20 jam setiap hari boleh menjejaskan prestasi satu pasukan produksi.

Yusry berpandangan, mungkin tempoh 20 jam penggambaran disusuli cuti keesokan hari. Sesetengah produksi terpaksa memanjangkan tempoh penggambaran atas sebab tertentu seperti faktor cuaca, mengejar jadual pelakon dan alasan lain.

“Kita kena tahu punca penggambaran dibuat sehingga 20 jam, mungkin faktor cuaca atau produksi terpaksa mengejar jadual pelakon. Dan ada kemungkinan ia juga hari terakhir menggunakan sesebuah prop, jadi segala babak yang membabitkan penggunaan prop perlu diselesaikan pada hari itu juga.

“Kebiasaannya pengarah tidak akan berbuat sesuka hati, sebaliknya akan berbincang dengan seluruh tenaga produksi termasuklah pelakon. Di sinilah pentingnya komunikasi yang jelas bagi mengelakkan timbulnya masalah pada kemudian hari.

“Masalah kita, persatuan yang ada tidak mempunyai ‘taring’ untuk memperjuangkan nasib pekerja seni.

“Kita juga tiada ‘hitam putih’ dalam menentukan had masa bekerja, sebaliknya ia hanya perjanjian antara penerbit dengan artis serta kru secara lisan.

“Namun, setakat ini, saya tiada masalah dengan isu kerja lebih masa. Saya memang akan pastikan bekerja di bawah 12 jam, tetapi bukan bermakna saya tidak boleh berkompromi langsung.

“Ada masanya terlajak juga 13 hingga 14 jam, tetapi bukanlah selalu berlaku,” katanya.

 

Yusry berkongsi mengehadkan masa bekerja tidak melebihi 12 jam, setiap hari dan akan memaklumkan lebih awal kepada penerbit sebelum bersetuju bekerja dengan mana-mana produksi. - Foto IG Yusry Abdul Halim
Yusry berkongsi mengehadkan masa bekerja tidak melebihi 12 jam, setiap hari dan akan memaklumkan lebih awal kepada penerbit sebelum bersetuju bekerja dengan mana-mana produksi. – Foto IG Yusry Abdul Halim

 

Kata Yusry lagi, dia pernah melakukan kerja ‘gila’ apabila menghabiskan 46 babak dalam tempoh masa satu hari untuk drama bersiri kerana ingin berehat selepas hampir tiga bulan menjalani penggambaran tanpa henti.

“Pelakon yang tiada babak pada hari itu tidak perlu datang ke set. Berbeza pengarah dan kru yang perlu bekerja setiap hari tanpa rehat.

“Jadi, saya pernah buat kerja gila ketika penggambaran dalam drama. Saya minta persetujuan artis menghabiskan 46 babak pada hari itu juga.

“Alhamdulillah, dua pelakon utama bersetuju. Apa yang penting, pengarah kena maklumkan kepada artis dan kru terlebih dahulu supaya tidak tertanya-tanya berapa lama perlu berada di lokasi penggambaran.

“Bila adanya perbincangan dan persetujuan barulah kerja boleh diteruskan. Setakat ini, tiada artis atau kru merungut kerana kita sudah capai kata sepakat.

“Sebab itu, saya menekankan pentingnya perbincangan dengan baik. Pastikan semua setuju capai kata sepakat agar tidak timbulnya pertikaikan pada kemudian hari,” katanya.

Terdahulu, isu artis dan kru produksi dikerah bekerja sehingga 20 jam sehari menjadi polemik apabila mula dibangkitkan pelbagai pihak, termasuk aktor, Sharnaaz Ahmad berang dengan tindakan syarikat produksi yang mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga artis dan kru ‘lunyai’ di lokasi, baru-baru ini.

Bengang dengan sikap produksi, Sharnaaz meminta persatuan penggiat seni yang berkaitan dapat memantau, sekali gus mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan budaya lapuk ini tidak berulang.

Menerusi hantaran dalam Instagram Stories (IGs), aktor sensasi itu meluahkan kemarahan terhadap sebuah produksi yang didakwa menjalani penggambaran sehingga 20 jam sehari.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat