PUTRAJAYA — Satu perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat dengan insiden pasukan bola tampar perempuan yang ditampar jurulatih akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu yang dilaporkan oleh pihak media berkenaan insiden itu.
“ Merujuk kepada insiden yang tular di media sosial bertarikh 1 Januari 2023 berkaitan klip video yang melibatkan jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita) yang didapati menampar dua (2) orang pemain wanita pasukan tersebut.
“KPM memandang serius terhadap isu yang dilaporkan oleh pihak media dan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut,” katanya.
KPM menjelaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden tersebut.
“KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.
“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Sebelum ini tular video yang memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya di laman media sosial sehingga mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan serta KPM.
Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam satu kenyataan semalam juga berkata, jurulatih tersebut telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti kebangsaan.
Mava mengesahkan kejadian berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.



