Sri Lanka Laksana Pembakaran Mayat Berskala Besar

- Advertisement -

COLOMBO: Sri Lanka memulakan pembakaran besar-besaran timbunan mayat pesakit COVID-19 ketika kes melonjak di seluruh pulau, kata pegawai, hari ini.

Jangkitan harian di negara itu meningkat dua kali ganda dalam sebulan kepada lebih 2,500 dan hampir 100 kematian, sekali gus memberi tekanan kepada hospital.

Majlis Perbandaran Colombo petang semalam memulakan pembakaran mayat, melupuskan 15 mayat di Tanah Perkuburan Umum Colombo selepas hospital utama pulau itu menjelaskan tidak lagi mempunyai ruang simpanan.

Ia adalah pembakaran mayat berskala besar pertama sejak Disember lalu, apabila kerajaan menolak bantahan keagamaan dan membakar mayat 15 penganut minoriti Muslim, termasuk bayi berusia 20 hari.

Kerajaan kemudian membenarkan umat Islam dikuburkan di sudut terpencil di timur pulau itu mengikut ajaran Islam, selepas demonstrasi domestik dan antarabangsa.

Kesatuan Inspektor Kesihatan Awam (PHI) berkata, mayat pesakit COVID-19 disimpan di hospital pada hujung minggu kerana krematorium padat sepanjang masa dan tidak mampu menampung lonjakan kes kematian.

Ketua Kesatuan PHI, Upul Rohana, berkata krematorium baharu mungkin perlu dibina ketika ini.

Rohana berkata, lonjakan jangkitan antara lain menunjukkan aktiviti pengesanan kontak tidak lagi praktikal.

Di Hospital Colombo North terdapat 20 mayat tanpa tempat simpanan, manakala lebih 50 di Hospital Panadura di selatan ibu negara.

Di bilik mayat Hospital Kebangsaan Colombo, semua 66 peti sejuk beku dipenuhi, selain ada timbunan mayat di troli dan meja, kata sumber hospital.

Negara itu melupuskan mayat dan tidak menyerahkannya kepada keluarga, sepanjang pandemik.

Sekatan COVID-19 diperketatkan ketika muncul laporan pesakit maut ketika menunggu dimasukkan ke hospital yang sesak, Jumaat lalu.

Kerajaan berkata, acara dan himpunan awam dilarang hingga 1 September ini.

Lebih 11 juta orang dari 21 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 2.93 juta lengkap divaksinasi, setakat semalam.

Menurut data rasmi, Sri Lanka mencatatkan 5,107 kematian setakat ini dan hampir 330,000 jangkitan, tetapi pakar mendakwa angka sebenar jauh lebih tinggi.

Gelombang baharu muncul selepas kerajaan melonggarkan sekatan pada April lalu, bagi membenarkan perayaan Tahun Baru Sinhala dan Tamil.

Peraturan diperketatkan sekali lagi pada Mei sebelum dilonggarkan semula, pada 10 Julai lalu. – AFP

– Berita Harian

author avatar
Nur'ain Musa
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat