KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengadakan pertemuan bagi mengadakan mesyuarat tertutup.
Memetik laporan Astro Awani, mesyuarat tertutup itu berlangsung lebih dua jam di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan pada malam semalam.
Antara yang dilihat hadir, Penasihat UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Razali Ibrahim.
Namun tiada apa-apa kenyataan rasmi dikeluarkan UMNO berhubung mesyuarat yang bermula pada jam 9.00 malam tadi.
Pada Isnin, beberapa pemimpin tertinggi UMNO berada di Ibu Pejabat UMNO itu sejak tengah hari tadi dipercayai bagi membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil selepas berakhirnya tempoh 14 hari diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen.