TURKI: Malaysia akan menyumbang lebih USD 1 juta kepada Negara Palestin bagi membina semula fasiliti ujian Covid-19 di Gaza yang telah musnah akibat dibom oleh Israel pada bulan lalu, kata Menteri Luar, Dato’ Seri Hishammuddin Hussien.
Menurut beliau lagi, sokongan Malaysia kepada Palestin tidak pernah berakhir sejak sekian lama.
Disamping itu, Malaysia juga sedang berusaha menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin serta membangunkan semula bandar Gaza akibat dibom oleh tentera Zionis, kata Hishammuddin selepas mengadakan pertemuan bersama TYT Dr. Riad Malki di Mesyuarat Dua Hala di Turki sebentar tadi.
“Saya dan Menteri Luar Negeri Palestin, TYT Dr. Riad Malki mengadakan Mesyuarat Dua Hala di Turki sebentar tadi.
“Amat bermakna apabila Dr. Riad menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Malaysia serta rakyatnya atas sokongan padu kepada Palestin sejak sekian lama.
“Saya suarakan jaminan kepada Dr. Riad bahawa sokongan Malaysia tidak akan pernah berakhir malah fokus Malaysia sekarang ialah menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin serta membangunkan semula Gaza. Antara lain, Kerajaan Malaysia akan sumbang lebih USD 1 juta bertujuan membina semula fasiliti ujian #COVID19 di Gaza yang telah musnah akibat dibom Israel bulan lalu.” kata Hishammuddin.
Beliau Hishammuddin juga berkata Dr. Riad menyambut baik cadangannya agar negara-negara lain yang berkongsi tekad yang sama dengan Malaysia turut tampil membantu Palestin.
“Terima kasih Dr. Riad. Malaysia akan sentiasa berdiri teguh bersama Palestin!.” katanya. -SuaraTV