‘Kalau Sheila tak nak letak jawatan, kita jumpa PM!’

- Advertisement -

Kuala Lumpur: “Sekiranya Datuk Sheila Majid tidak mahu meletak jawatan, kami akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri. Saya akan gunakan saluran untuk berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terangkan berkenaan masalah ini. Lagipun beliau mempunyai seorang anak yang juga seorang penyanyi.”

Demikian kata Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dalam sidang media mengenai isu royalti artis, hari ini.

Sidang media yang turut dihadiri penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim; penyanyi Blues Gang, Ito Mohd dan pemuzik, Rafi Mohd turut mendesak Sheila meletak jawatan sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM).

Freddie berkata, industri muzik sekarang dalam keadaan tenat dan banyak masalah terutama sejak pandemik Covid-19, Mac lalu.

“Dalam keadaan sekarang, pendapatan yang boleh diharapkan ialah menerusi royalti. Ramai penyanyi tiada pendapatan sejak sembilan bulan lalu. Satu-satunya cara untuk meraih pendapatan ialah menerusi royalti. Sebanyak RM140 juta royalti sudah dikutip Music Right Malaysia (MRM) tapi malangnya MRM sudah ditutup.

“RPM pula tak bermaya dan jarang buat apa-apa kenyataan mengenai royalti kepada ahli. November tahun lalu ada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Baru-baru ini pun sama tapi tak sebut mengenai royalti,” katanya.

Menurutnya, Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) sudah ditutup dan RPM perlu memainkan peranan untuk membayar royalti.

“Sudah beberapa kali saya suarakan kepada Sheila untuk letak jawatan namun dia berdegil. Ahli-ahli RPM pun sudah mendesak dia letak jawatan. Baik Sheila atau ahli-ahli lembaga pengarah, boleh keluar! Setakat ini kami berjaya buat petisyen yang sudah ditanda tangan seramai 114 artis yang juga ahli RPM.

“Selain itu, seramai 67 ahli PRISM juga memberi mandat kepada saya untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya Sheila letak jawatan, jawatan ini akan diisi menerusi pemilihan secara demokrasi,” katanya.

Sementara itu, Sheila yang juga penyanyi popular terus membisu mengenai isu ini. Usaha wartawan menghubunginya bagi mendapatkan respon mengenai isu ini juga tidak berjaya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat