KUALA LUMPUR: Tiga jalan di Kota Damansara, yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibuka semula untuk kemudahan orang ramai mulai hari ini.
Jalan yang akan dibuka kembali itu adalah Jalan Persiaran Mahogani, Seksyen 9; Jalan Persiaran Jati, Seksyen 8 serta Jalan Persiaran Sungai Buloh dan pembukaannya berkuat kuasa tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pembukaan semula jalan itu dibuat bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan juga petugas barisan hadapan yang bekerja di lapangan.
“Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, pengaturan semula pergerakan petugas barisan hadapan untuk tugas sekatan jalan raya (SJR) dan juga tugas pemantauan di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar raya, pasar, pusat komersial dan riadah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Nik Ezanee berkata, polis akan menggerakkan sumber manusia sedia ada ke kawasan PKPB untuk melakukan tugasan seperti rondaan Aberdeen MPV, Op Cantas serta tugas lain yang diperlukan.
Sebelum ini, kerajaan telah mengisytiharkan bahawa PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disebabkan peningkatan kes positif COVID-19 saban hari. – BERNAMA