Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melafazkan sumpah laknat sambil menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam pertuduhan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan wang RM42 juta.
Najib melafazkan sumpah tersebut ketika mengemukakan hujah rayuan bagi meringgankan hukumannya.
“Saya tidak merancang (menerima) RM42 juta dan juga tidak ditawarkan RM42 juta. Tidak ada bukti atau saksi yang mengatakan demikian.
“Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta itu. Wallahi, Wabillahi, Watallahi,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kenyataan Najib itu setelah pihak pembelaan dan pihak pendakwaan melengkapkan hujah mereka untuk mitigasi.
Najib turut menjelaskan sepanjang pentadbirannya beliau pernah berusaha untuk mewujudkan undang-undang yang lebih telus berhubung sumbangan politik.
“Saya bertanggungjawab untuk menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), yang saya tidak pernah diberi penghargaan yang cukup. Saya mahu memastikan negara tidak (melakukan) salah guna kuasa.
“Dalam hal ini, saya mengemukakan cadangan untuk menerapkan sistem yang lebih telus bagi sumbangan politik. Sayangnya, cadangan itu memerlukan sokongan dua parti tetapi pembangkang pada masa itu tidak setuju dan cadangan itu akhirnya tidak dapat dilihat,” katanya lagi.
Pagi tadi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan, Najib, 67, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.