Najib Dihukum Penjara 12 Tahun, Denda RM210 Juta

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib kelihatan tenang, sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagi sabitan pecah amanah pula, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan hukuman ke atas Najib ialah 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, ahli parlimen Pekan berkenaan dihukum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Semua hukuman penjara akan berjalan serentak.

Terdahulu pagi tadi, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Dia didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Najib didakwa melakukan semua kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 hingga 2 Mac 2015.

Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap semua pertuduhan itu, selepas pembelaannya gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC dihadapai tertuduh.

“Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan,” kata Mohd Nazlan yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk membacakan penghakimannya.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, manakala pasukan pembelaan Najib diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat