CYBERJAYA: Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bergerak sendirian tanpa bergabung dengan mana-mana pihak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Zuraida berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan parti yang diadakan pada Ahad.
Menurutnya, keputusan tersebut dicapai kerana PBM tidak dapat memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan BN untuk menyertai gabungan itu, lapor Malaysiakini.
Selain itu, dalam perkembangan lain, Zuraida berkata sebarang isu berhubung perebutan kuasa antara dia dan Larry Sng akan diselesaikan secara dalaman.
“Insyallah, ia akan diselesaikan secara dalaman sebelum 5 November,” katanya.
Zuraida juga dilihat cuba mengelak ketika ditanya berhubung penggantungannya daripada PBM memandangkan menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Larry Sng masih presiden PBM.
Pada Khamis lalu, timbalan presiden PBM Haniza Mohamed Talha berkata Zuraida merupakan presiden yang sah selepas diumumkan pada perhimpunan agung tahunan parti pada Oktober lalu.
Namun Sng mendakwa dia tidak pernah meletakkan jawatannya sebagai presiden dan masih presiden yang sah mengikut rekod ROS.
Sng menggantung Zuraida dan 12 ahli majlis tertinggi PBM daripada parti itu pada Sabtu lalu.
Sng berkata tindakan itu diambil kerana mereka didapati berterusan menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.
Sng yang juga pengasas PBM sebelum ini yang turut menggantung setiausaha agung Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid – kedua-duanya adalah sekutu Zuraida.