BAYRAKLI: Penyelamat terpaksa menggali runtuhan konkrit yang berat menggunakan tangan pada Jumaat dalam usaha mencari individu terselamat dalam kejadian gempa bumi yang memusnahkan bangunan di Greece dan Turki serta meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa.
Gempa bumi mencetuskan tsunami kecil di pulau Samos di Laut Aegean dan gelombang laut menukarkan jalan raya menjadi umpama sungai di sebuah bandar di pantai barat Turki.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berkekuatan 7.0 itu melanda di kawasan 14 kilometer dari bandar Karlovasi yang terletak di Samos, Greece.
Gempa bumi yang boleh dirasai di Istanbul dan Athens itu, turut membuka ruang diplomasi buat kedua-dua negara itu, dengan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis membuat panggilan yang jarang dilakukan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk menyatakan ucapan takziah dan sokongan.
Kebanyakan kemusnahan itu berlaku di sekitar bandar peranginan Izmir di Turki yang memiliki tiga juta penduduk dan dipenuhi blok pangsapuri yang tinggi.
Sisa runtuhan pangsapuri, termasuk alat mainan, bantal dan peralatan lain bertaburan di jalan raya, di mana individu terselamat berpelukan sambil menangis, dan tidak mampu berkata-kata kerana masih dalam keadaan terkejut.
Rakaman video dari udara menunjukkan blok di seluruh bandar itu musnah.
“Saya sangkakan, bila ia (gempa) akan berakhir? Saya rasakan seperti 10 minit, seolah-olah ia tidak akan berakhir.
“Saya sangat bimbang namun bukan berkenaan diri saya, tetapi keselamatan keluarga, iaitu isteri dan anak saya yang berusia empat tahun,” kata penghantar barang berusia 32 tahun, Gokhan Kan.
Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer memberitahu CNN Turk bahawa 20 bangunan musnah, dengan pasukan penyelamat memfokuskan usaha menyelamat mereka di 17 daripada 20 lokasi runtuhan itu.
Agensi bantuan bencana Turki melaporkan 20 kematian dan lebih 800 individu cedera, manakala Greece merekodkan dua remaja yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah maut di Samos apabila bangunan runtuh menimpa mereka.
Kemusnahan teruk dialami ketika ini mungkin menyaksikan jumlah kematian meningkat. Sebuah hospital di Izmir membawa keluar pesakit yang masih berada di atas katil ke jalan raya sebagai langkah berjaga-jaga.
Jabatan Hal Ehwal Agama Turki membuka masjid untuk menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan. – AFP/Berita Harian