Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL) telah melancarkan The Campus Brew yang menjadi projek Industry on Campus (IoC) keduanya dalam bidang tujahan Pengurusan Peruncitan dengan kemudahan dan fasiliti yang lengkap dan menarik serta menjadikan salah satu daya tarikan kepada pelajar sebagai nilai tambah menjadi barista profesional.
Pembukaan kafe tersebut bukan sahaja membuka peluang pembelajaran praktikal, malah mengasah kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail, sempena lawatan kerjanya ke PMKL, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr.Shamsuri Abdullah; pegawai-pegawai JPPKK dan warga PMKL.
Dr. Mohd Zahari berkata sokongan padu daripada pihak pengurusan politeknik, rakan industri dan komuniti kampus, beliau yakin The Campus Brew akan berkembang sebagai platform pembelajaran berimpak dan menjadi kebanggaan bersama.
Katanya lagi, pendedahan autentik kepada operasi industri F&B khususnya kopi akan melahirkan graduan yang berdaya saing, kreatif dan berinovatif.
Beliau turut merasmikan penubuhan Innovative Learning Hub For Advancing Method (ILHAM) yang mengandungi makmal digital, mini teater, studio multimedia, ruang kolaborasi projek serta platform latihan kemahiran digital dan inkubasi idea.
Dengan persekitaran yang kondusif dan berinspirasi, ILHAM bukan sahaja menyokong pembangunan bahan pembelajaran moden, malah menjadi tapak pencetusan perubahan dalam landskap pendidikan institusi yang lebih progresif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Terdahulu, Dr. Mohd Zahari telah menghadiri taklimat ringkas dan mendengar berkaitan latar belakang pengoperasian PMKL yang disampaikan oleh Pengarah PMKL, Ts. Roseman Mat Jidin @ Jidin sebelum melawat ke fasiliti-fasiliti lain yang terdapat di PMKL.
Dalam pada itu, JPPKK kekal komited dalam memperluas inisiatif IoC di politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), berperanan untuk pihak industri memyediakan peralatan atau kepakaran mereka ke POLYCC untuk melatih pelajar-pelajar secara terus.
-SUARA.TV



