Suspek Kes Pukul Bekas Calon Ketua Armada Bahagian, Tidak Lagi Aktif – Armada Bersatu

- Advertisement -

PETALING JAYA – Lelaki yang didakwa memukul hingga mengakibatkan kematian seorang pengawal keselamatan di kondominium di Ipoh, Perak, Disember lalu, adalah bekas calon ketua armada Bersatu Kota Bharu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata biar isu itu diselesaikan pihak polis, undang-undang dan kehakiman negara yang terbukti telus.

Katanya, semoga keadilan dapat dicapai kepada keluarga mangsa melalui proses perundangan.

“Kita serahkan kepada pihak polis dan sistem perundangan serta kehakiman negara. Daripada maklumat kita ada, lelaki itu adalah ahli Bersatu Perak.

“Dia bukan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Kota Bharu atau ahli Bersatu Kota Bharu kerana sudah tidak aktif dengan parti ini di bahagian negeri atau pusat,” katanya di Kota Bharu, memetik laporan Harian Metro.

Mohamed Farid berkata, berita yang tular mendakwa lelaki itu adalah Ketua Armada Bersatu Kota Bharu adalah tidak benar.

“Ketua Armada Bersatu Kota Bharu adalah Mohd Ekhwan Mohd Hatta. Tahun lalu, memang lelaki itu bertanding pada pemilihan Ketua Armada Bersatu Kota Bharu, namun beliau tidak terpilih, sebaliknya Mohd Ekhwan yang terpilih.

“Kita rayu orang ramai tidak menularkan berita yang tidak benar yang mendakwa lelaki itu adalah Ketua Armada Bersatu Kota Bharu,” katanya.

Terdahulu, tular dakwaan yang mengatakan lelaki yang memukul seorang pengawal keselamatan di Ipoh, Perak Disember tahun lalu dan meninggal dunia Jumaat lalu adalah ketua Armada Bersatu Kota Bharu hingga menimbulkan situasi kurang senang dan memburukkan nama Bersatu Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Mohamed Farid, berkata jika lelaki itu ahli Bersatu dan didapati bersalah, parti berhak untuk membuang keahliannya.

Katanya, pada masa ini, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu untuk memastikan sama ada lelaki itu masih ahli Bersatu Perak atau sebaliknya memandangkan beliau sudah tidak aktif dengan parti.

Media semalam melaporkan, polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya merujuk semula kes kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

“Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa meninggal dunia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,561FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat