4 Kluster Baharu Dikesan -KKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan satu lagi kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Bunga yang dikenal pasti melibatkan empat kakitangan sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kapal itu mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura.

“Seramai 34 kru kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal dan daripada jumlah itu empat kes dikesan positif, enam negatif dan 24 lagi menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes positif kluster itu melibatkan dua  warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara dan keempat-empat kes positif itu tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

Menurutnya setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil iaitu di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan proses nyahcemar telah dijalankan di kapal itu dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memperincikan perkembangan status Kluster Tawar dengan pertambahan satu kes menjadikan jumlahnya 74 kes.

Menurutnya Kluster Telaga juga mencatatkan pertambahan satu kes baharu menjadikan jumlahnya lima kes.

“Pengesanan kes secara aktif  dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 kepada semua warga Malaysia dan menzahirkan perhargaan kepada semua petugas barisan hadapan negara.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan dan petugas balik tabir yang telah bertungkus lumus berjuang menentang musuh negara yang juga sedang mengancam dunia, iaitu COVID-19.

“Semoga kita terus cekal dan bersatu hati, berganding bahu bagi berjuang membebaskan Malaysia daripada sebarang ancaman virus ini dan segala jenis ancaman yang lain. Bersama-samalah kita menjaga ibu pertiwi kita ini,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat