KUALA LUMPUR- Peralihan monopoli 5G dikuasai kerajaan kepada model dwirangkaian mungkin mewujudkan duopoli dipacu keuntungan selain merugikan pengguna, kata ahli ekonomi.
Goh Lim Thye dari Universiti Malaya, berkata demi menjamin kebolehlaksanaan kedua-dua jaringan, Digital Nasional Berhad (DNB) perlu membina infrastruktur tambahan bagi perkongsian spektrum dan keperluan mengekalkan kelajuan 100mbps.
Katanya, ia memerlukan pelaburan mampan, menjurus kepada beban kewangan.
“Untuk menampung kos ini, telco mungkin akan menaikkan harga. Contohnya, negara mempunyai pasaran telekom duopoli seperti Australia, menyaksikan harga lebih tinggi berbanding dengan pasaran lebih kompetitif.
Kebolehlaksanaan kewangan juga dibimbangi membawa kepada kompromi kualiti perkhidmatan dan kemajuan teknologi, lapor FMT.
Pada 2021, Malaysia memperkenalkan rancangan bagi Digital Nasional Berhad (DNB), agensi milik kerajaan, dalam mengawal selia semua spektrum 5G, membenarkan semua penyedia perkhidmatan menggunakan infrastrukturnya.
Bagaimanapun, DNB dikatakan memonopoli dengan pengritik mempertikai model tunggal rangkaian merencatkan persaingan dan inovasi.
Tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan Malaysia akan melakukan peralihan daripada model rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model dwirangkaian.
Pada masa sama, Fahmi berkata, peralihan itu akan memupuk persaingan sihat dan memastikan perkhidmatan 5G berkualiti dan mampu milik bagi orang ramai.
Bagaimanapun, Lim Thye berkata, melalui duopoli – di mana pasaran dikawal dua pemain – mungkin menyaksikan replikasi isu timbul daripada oligopoli telco yang wujud sebelum ini, termasuk harga lebih tinggi dan kualiti perkhidmatan lebih rendah.
Oligopoli berlaku apabila pasaran dikawal sejumlah kecil pemain.
Lim Thye berkata, oligopoli membolehkan syarikat secara diam-diam menyekat pengeluaran, menetapkan harga atau mengekalkan harga tinggi tanpa penyelarasan langsung demi mencapai keuntungan lebih tinggi daripada biasa.
Beliau berkata, telco terbesar negara telah berjaya menjana keuntungan besar kesan ekonomi skala, mengurangkan kos per-unit mereka, dan meningkatkan margin keuntungan.
Dengan turut menyediakan perkhidmatan premium dan memanfaatkan kesetiaan jenama, mereka mengekalkan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) yang tinggi, katanya.
Beliau berkata, strategi itu menjadikan perniagaan telco sangat lumayan.
Pada 2023, Maxis melaporkan margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 27.5 peratus. Celcom dengan margin EBIT pada tempoh sama sekitar 25.8 peratus, manakala Digi melaporkan margin EBIT pada kadar 30.2 peratus pada 2023, katanya.
Katanya, oligopoli sedia wujud tidak memberi kelebihan buat pengguna yang terpaksa membayar harga tinggi, namun seringkali berdepan masalah perkhidmatan perlahan.
Lim Thye merujuk laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mendapati purata harga jalur lebar di Malaysia berada pada sekitar RM100 sebulan, namun kelajuan jalur lebar ketinggalan berbanding Singapura dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan, menyuarakan kebimbangan duopoli juga boleh menjadi antipersaingan.
Pengetahuan dalaman menerusi wakil rangkaian kedua yang menjadi ahli lembaga pengarah DNB juga membawa kepada konflik kepentingan, di mana keputusan akan memberi manfaat kepada penyedia rangkaian berbanding pengguna.
Sebelum ini, Putrajaya memerlukan semua syarikat telekomunikasi yang bersaing membangunkan rangkaian kedua memperoleh pegangan dalam DNB.
Susulan itu, CelcomDigi, Maxis, U Mobile, dan YTL Communications mengumumkan mereka telah memenuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian langganan saham, sekali gus secara kolektif memperoleh 70 peratus kepentingan dalam DNB.
Pada Jun, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengkritik langkah itu sambil menyatakan ia menjurus kepada konflik kepentingan. Beliau menggesa Putrajaya menangguhkan rancangan bagi rangkaian kedua 5G.
Lim Thye turut mengingatkan pelancaran rangkaian kedua mampu mengakibatkan kegagalan DNB disebabkan persaingan tidak adil dengan potensi kerugian akhirnya ditanggung orang awam.