BEIRUT: Mati hidup semula. Itu kejadian luar biasa yang berlaku kepada seorang lelaki yang masih bernafas ketika saudara-mara berkabung meratapi kematiannya.
Kejadian pelik itu berlaku di bandar Hermel, Lubnan ketika ‘mayat’ lelaki itu diusung untuk upacara pengebumian awal minggu ini, lapor Daily Star.
Rakaman di media sosial menunjukkan orang ramai yang bersedih, berkumpul di tepi keranda dengan seorang wanita menyentuh mayat.
Tidak lama kemudian, mereka melihat tubuh lelaki itu bergerak sebelum memberikan bantuan kecemasan kepadanya.
Mereka berhenti di tengah jalan dan menunggu ambulans yang membawa lelaki itu ke hospital untuk rawatan.
Doktor kemudian mengesahkan ‘mayat’ itu masih hidup namun tidak menjelaskan bagaimana dia disahkan sudah meninggal dunia sebelum itu.
Kejadian serupa berlaku kepada Siti Masfufah Warda, 12, yang hidup semula di sebuah hospital di Indonesia.
Dia dimasukkan ke wad pada 18 Ogos tahun lalu selepas disahkan meninggal dunia.
Sejam selepas itu, dia kembali bernyawa ketika ahli keluarga sedang memandikan mayatnya.
Bapanya, Ngasiyo berkata, ketika dimandikan, suhu ‘jenazah’ anaknya itu menjadi panas.
“Matanya yang tertutup terbuka kembali. Kami juga dapati jantungnya kembali berdegup,” katanya.
– Harian Metro