SEPANG, – Cubaan licik sekumpulan warga asing untuk memasuki Malaysia dengan menggunakan helah transit gagal apabila pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mengesan taktik tersebut dalam satu operasi pemantauan khas baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi AKPS hari ini, seramai 105 individu daripada lebih 400 warga asing yang diperiksa kebanyakannya dari Bangladesh, Pakistan dan India telah diarahkan pulang selepas didapati tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.
Taktik yang dikesan melibatkan pengakuan bahawa mereka hanya transit di Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke negara ketiga. Namun hasil siasatan lanjut bersama syarikat penerbangan mendapati tiket ke destinasi akhir telah dibatalkan sebaik sahaja mereka menaiki pesawat ke KLIA.
“Ini merupakan helah untuk mengaburi pegawai imigresen dan memasuki Malaysia secara tidak sah,” menurut kenyataan itu.
AKPS menegaskan bahawa pemantauan dan pengawasan akan terus dipertingkatkan di semua pintu masuk negara, termasuk melalui penambahbaikan mekanisme semakan serta pelaksanaan saringan lebih teliti terhadap setiap individu yang keluar dan masuk.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak, termasuk pegawai yang cuai atau bersubahat. Tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil ke atas mereka,” tegas AKPS.
Langkah berterusan ini, menurut agensi itu, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kawalan sempadan negara dan memastikan keselamatan serta kedaulatan Malaysia terus terpelihara.