SINGAPURA, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kerjasama serantau serta pendirian berprinsip ASEAN dalam menghadapi pelbagai cabaran global yang semakin mencabar, dalam ucapan khas beliau sempena Dialog Shangri-La hari ini.
Menurut beliau, forum keselamatan antarabangsa seperti Dialog Shangri-La merupakan medan penting untuk membina titik persefahaman, terutamanya ketika dunia sedang berdepan tekanan akibat perubahan teknologi, ketidaktentuan ekonomi, pergolakan perdagangan, serta ketegangan geopolitik yang memuncak.
“ASEAN tidak terkecuali daripada tempias perubahan ini. Namun, kita tetap berpegang kepada semangat kerjasama erat, ketahanan bersama, dan prinsip menentukan halatuju sendiri secara konsisten,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa komitmen ASEAN terhadap sistem perdagangan yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan bukan kerana ia mudah dilaksanakan, tetapi kerana ia satu keperluan mendesak demi kelangsungan dan kemakmuran rantau ini.
“Kestabilan di benua ASEAN adalah tunjang utama yang perlu dibina atas asas kukuh, dasar yang jelas dan wawasan jangka panjang,” ujar Anwar sambil menekankan bahawa keamanan berkekalan hanya dapat dicapai melalui kejelasan dasar dan komitmen serantau yang berterusan.
Mengakhiri ucapannya, Anwar turut menarik perhatian dunia terhadap isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Beliau mendesak masyarakat antarabangsa agar bertindak tegas dan konsisten dalam menangani kekejaman yang berlaku, sambil menegaskan bahawa simpati semata-mata tidak lagi mencukupi.
“Sudah tiba masa untuk tindakan yang lebih berani dan berprinsip bagi menghentikan kekejaman di Gaza. Dunia tidak boleh terus menjadi pemerhati pasif,” tegasnya.
Ucapan Anwar itu mendapat perhatian para delegasi antarabangsa yang hadir, sekaligus memperkukuh peranan Malaysia sebagai suara yang lantang dan berprinsip dalam memperjuangkan keamanan serantau serta keadilan sejagat.