CYBERJAYA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu tular berkaitan pembinaan sebuah kuil di kawasan kampusnya dengan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa negeri.
Menurut kenyataan rasmi, pihak pengurusan UKM telah mengadakan sesi perbincangan bersama Kerajaan Negeri Selangor bagi mencari penyelesaian terhadap isu penempatan kuil yang didakwa tidak sah di atas sebahagian tanah milik universiti berkenaan.
Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk membawa perkara itu ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Negeri Selangor bagi penelitian lanjut.
UKM memaklumkan bahawa sebarang tindakan susulan hanya akan diambil selepas menerima maklum balas rasmi daripada kerajaan negeri, selaras dengan prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
“Pendekatan yang diambil adalah secara menyeluruh, berhemah dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Tambah UKM, penyelesaian isu tersebut memerlukan pertimbangan teliti serta pelaksanaan secara berperingkat tanpa tindakan tergesa-gesa atau agresif.

Sehubungan itu, pihak universiti akan terus memantau perkembangan semasa dan bergantung kepada keputusan pihak berkuasa berkaitan sebelum mengambil langkah seterusnya.
Dalam masa sama, UKM menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan atau ketegangan antara komuniti, sambil menghargai keprihatinan masyarakat terhadap isu berkenaan.



