MINDEF arah MALBATT 850-13 henti operasi di Selatan Lubnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan anggota MALBATT 850-13 tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan arahan Markas UNIFIL.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, Kementerian Pertahanan memandang serius perkembangan terkini situasi keselamatan di Selatan Lubnan susulan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam melibatkan pasukan pengaman UNIFIL, termasuk letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr dan letupan IED yang melibatkan kontinjen INDOBATT.

“Insiden ini telah mengorbankan beberapa anggota pengaman serta menyebabkan kecederaan serius. Kementerian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar anggota yang cedera segera sembuh.

Susulan insiden ini, anggota MALBATT 850-13 diarahkan untuk tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan arahan Markas UNIFIL.

“Tahap keselamatan turut dipertingkat kepada semua kontinjen di kawasan misi, termasuk penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP), Rules of Engagement (ROE), pemberhentian sementara rondaan, dan langkah Force Protection yang lebih ketat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada masa ini Khaled memberitahu, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat.

“Keselamatan anggota tetap menjadi keutamaan kerajaan, dengan segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat