KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Sabu dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diterajuinya akan terus meneliti setiap perkara dengan serius dan komited untuk memuktamadkan tindakan susulan yang praktikal demi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi untuk rakyat.
Hal ini katanya susulan krisis Asia Barat yang meruncing ketika ini.
“Pagi tadi Bang Mat hadir Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 4 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat kali ini cukup penting, mengambil kira situasi krisis yang sedang berlaku di Asia Barat yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan rantaian bekalan makanan global.
“Fokus utama kita adalah untuk melihat kedudukan semasa bekalan makanan negara, menilai tahap keterjaminan makanan, serta mengenal pasti langkah-langkah mitigasi yang perlu diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja keras supaya rakyat tidak terkesan dan bekalan makanan negara kekal terjamin,” katanya.



