CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat adalah asas penting yang mesti dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Dalam Perutusan Khas Aidilfitri malam tadii, baginda bertitah bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau kaum mempunyai tanggungjawab bersama dalam mengekalkan perpaduan, berpandukan lima prinsip Rukun Negara.
“Menjaga perpaduan bukan suatu usaha yang mempunyai tarikh tamat, sebaliknya ia adalah proses berterusan dalam mendidik, memupuk, dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa sebarang anasir yang boleh mengancam keharmonian negara harus dibanteras tanpa kompromi, sambil mengingatkan bahawa perpaduan tidak boleh sekadar menjadi slogan, tetapi perlu dihayati secara mendalam dalam kehidupan seharian.
“Saya harap pesanan ini disambut dan diambil tindakan sebaiknya oleh kerajaan dan rakyat jelata kerana perpaduan adalah asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran kita semua,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut mendoakan agar Malaysia terus dilindungi daripada sebarang musibah dan berharap semangat kebersamaan dapat diperkukuhkan, terutama dalam menghadapi cabaran masa depan.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada mereka yang bertugas demi negara ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, termasuk anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan.
“Jasa dan pengorbanan anda amat dihargai, semoga anda semua dikurniakan keberkatan dan terus ditiupkan semangat yang kental serta jitu,” titah baginda lagi.
Baginda turut menyeru umat Islam untuk meraikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran setelah menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan.